PAS Padang Terap utamakan agenda bantu penduduk

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

PADANG TERAP: Agenda membantu penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19 menjadi keutamaan PAS Padang Terap untuk sesi kali ini.

Yang Dipertua PAS Padang Terap, Ustaz Mohd Azam Abd Aziz berkata, pihaknya akan sentiasa memperkasakan agenda kebajikan yang menjadi salah satu dari teras parti berkenaan.  

- Advertisement -

“PAS sebagai sebuah parti yang meletakkan empat teras utama iaitu politik, dakwah, pendidikan dan kebajikan.

“PAS juga tidak akan meminggirkan mana-mana teras,bahkan akan sentiasa memperkasakan teras tersebut terutama dalam soal kebajikan rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Menurutnya lagi, penduduk Padang Terap antara paling ramai terlibat dalam sektor pertanian seperti sawah padi dan penoreh getah.

Ekoran pandemik Covid-19, telah memberi kesan yang agak serius kepada sektor terbabit dan menjadikan pendapatan mereka tidak menentu. Hal itu ditambah lagi berikutan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini. 

“Walaupun  kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan seperti bakul makanan, beras sejahtera, bantuan peralatan perniagaan dan lain-lain kepada penduduk terjejas. Namun, PAS tetap rasa bertanggungjawab untuk membantu tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik,”  ujarnya lagi. 

Selain itu, PAS kawasan terbabit juga berperanan sebagai pemudahcara menyalurkan bantuan dari Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) kepada yang memerlukan. 

Ustaz Mohd Azam kekal menerajui PAS   kawasan tersebut apabila menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung kali ke 46, 17 Oktober lalu. 

Sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Zakaria Yusoff dipilih sebagai timbalan manakala ADUN Pedu, Mohd Radzi Mat Amin sebagai Naib Yang Dipertua. – HARAKAHDAILY 26/10/21

- Advertisement -