Muslimat Pahang kekal peneraju, berpadu menuju PRU15

- Advertisement -

TEMERLOH: Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang Kali Ke-33 telah dihadiri 76 perwakilan dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Kerja Negeri dan 14 Kawasan di Kompleks al-Makmur, Kerdau, di sini kelmarin.

Pemilihan pada muktamar ini menyaksikan kepimpinan sesi 2021-2023 kekal kepada Ustazah Salamiah Mohd Nor, Ustazah Hamidah Daud dan Ustazah Alawiyah Kasdan masing-masing sebagai Ketua, Timbalan dan Naib Ketua.

- Advertisement -

Antara mendapat perhatian perwakilan adalah ucapan penangguhan daripada empat zon yang mempertegaskan dan menyentuh pelbagai perkara supaya anggota Muslimat di semua peringkat istiqamah meneruskan perjuangan. 

Wakil Zon Selatan, Fazilah Ahmad mengingatkan anggota Muslimat untuk mengekalkan amalan tarbiyah, dakwah dan siyasah yang terbaik untuk menjinakkan hati para wanita agar kembali kepada Islam, Al- Quran dan Al-Sunnah.

Antara diketengahkannya supaya Muslimat merancakkan program penghayatan Islam melalui media baharu, pemerkasaan pasukan dakwah Muslimat serta membina jalinan atau hubungan kerjasama dengan NGO dakwah.

Wakil Zon Tengah, Najwa Mohd Zaki pula menjelaskan sebab PAS terus relevan atau diterima walaupun hampir mencecah tujuh dekad, adalah kerana parti Islam tertua ini mengamalkan perintah Allah S.W.T.

Sehubungan itu peringatnya, kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan untuk manfaat masyarakat dan menyebabkan rakyat tersentuh dengan keprihatinan jentera PAS menyantuni mereka wajib diteruskan.

Perwakilan Zon Timur, Habsah Ali pula menerangkan kepentingan siyasah sebagai keperluan kehidupan justeru berkait rapat dengan pembentukan tamadun dan peradaban serta pemerintahan pentadbiran kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa rombakan sistem pendidikan agar dapat membantu mencetak generasi yang bukan sahaja menguasai ilmu akademik serta kemahiran hidup tetapi juga menjadi pemimpin berkualiti serta arkitek ummah. 

Perwakilan Zon Barat, Rokiah Ahmad dalam ucapannya menyarankan agar anggota jamaah taat dan patuh kepada pimpinan selagi arahan tersebut tidak menyuruh melakukan dosa dan maksiat kepada Allah S.W.T.

Ketaatan kepada kepimpinan parti tegasnya, merupakan tanggungjawab sangat besar dan mempunyai kesan langsung terhadap keimanan selain turut mengingatkan semua bahawa perpecahan dalam jamaah adalah penghalang kemenangan.

Salamiah dalam ucapan penggulungannya mengingatkan agar semua ahli PAS bersatu kerana matlamat PAS ialah meletakkan Islam di tempatnya dan mengharapkan agar semua jentera parti mengambil tanggungjawab dekati anak-anak muda.

“Agendakan program-program untuk mereka (anak muda) dan jadikan setiap anak-anak kita sendiri mengikuti usrah dan tarbiyah PAS untuk membentuk mereka sebagai pelapis masa depan.

“Jentera 12K, mesti diperkasakan usrah-usrah mereka dan diaktifkan pada semua peringkat agar dapat menyuburkan ukhwah, menyatukan hati-hati dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

“Persiapan PRU15 mesti digalas bersama dan sentiasa bersedia mengikut arahan dari pimpinan pada bila-bila masa sahaja,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 26/10/2021

- Advertisement -