Misi membantu di kawasan Hulu Terengganu

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

NIKMAT besar dalam kehidupan ini ialah membantu umat Islam dalam kejerihan hidup, meneguk nikmat ini menyebabkan ketagihan tidak terperi dan hanya dirasakan oleh relawan serta aktivis kemanusiaan. Umat Islam dituntut untuk peduli dan cakna masyarakat, Nabi SAW yang mulia mengingatkan kita akan tanggungjawab sosial sesama umat dan tidak mengaku akan umat jika seorang Muslim tidak cakna pada Muslim yang lain.

Dalam minggu ini misi bantuan kemanusiaan Jenagor 2.0 telah bergerak ke kawasan sekitar Hulu Terengganu, walaupun musim tengkujuh mula membuka tirai namun misi ini telah mencapai objektif yang dirancang. Lokasi pertama yang dijejaki ialah KOA Sungai Berua Telemong, perkampungan Orang Asal ini menempatkan 134 keluarga yang terjejas dengan pandemik. Di KOA Sungai Berua ini serahan beras dan telekong solat untuk masyarakat.

- Advertisement -

Misi ini juga dipakejkan dengan siri kuliah Maghrib dan kuliah Subuh bersama masyarakat tempatan sempena dengan bulan Rabiul Awal, bulan kelahiran ar Rasulullah SAW. Ceramah diadakan di Kompleks Surau an-Nur Kuala Berang serta di lokasi penempatan peserta di Kenyir.

Kemuncak kepada misi Jenagor Hulu Terengganu 2.0 ialah acara serahan sumbangan bot berserta enjin kepada Madrasah Khairul Insan Jenagor Hulu Terengganu. Madrasah Khairul Insan Jenagor ini secara khusus menjadi pusat pemulihan dadah Islamik yang telah berbakti selama 22 tahun kepada masyarakat Terengganu dan juga luar Terengganu. Madrasah ini juga terletak Makam Sheikh Muhamad Sharif Al-Baghdadi, ulama yang membawa dakwah Islam ke bumi Terengganu. Hulu Terengganu dalam sejarahnya sarat dengan mercu tanda sejarah termasuk bukti emperikal Islam awal tiga di tanah leluhur Tok Ku Paloh iaitu Batu Bersurat Terengganu.

Misi bantuan kemanusiaan di bawah seliaan Pejabat Penyelaras Parlimen Besut dan NGO kolaborasi dengan membawa RM34,000 sumbangan. Lima madrasah telah dibantu dengan anggota misi dari Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan kontinjen relawan dari daerah Besut. Antara madrasah yang mendapat sumbangan sebanyak 1,018 kampit beras ialah Madrasah Al-Ansar, Kampung Basung, Madrasah Tahfiz An-Nur, Pondok Langkap, Pondok Ustaz Mad Kecik Kampung Kuala Dura dan Madrasah Khairul Insan Jenagor.

Misi ini juga bertujuan memurnikan serta mengasah kemahiran membantu kepada relawan dengan kepelbagaian latar belakang aktivis yang menyertai misi ini. Acara solat berjemaah, qiamullail, majlis berselawat, forum serta kuliah, busking dakwah turut mengisi acara misi selama tiga hari. Seramai 67 orang anggota misi bantuan yang sentiasa ceria untuk program misi kemanusiaan Hulu Terengganu kali ini. – HARAKAHDAILY 26/10/2021

- Advertisement -