Majikan kurang pekerja dapat bantuan kerajaan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melaksanakan beberapa tindakan untuk membantu Peniaga Kecil Sederhana (PKS) yang menghadapi masalah kekurangan pekerja.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim, berkata PKS berkenaan menghadapi masalah apabila pekerja warga asing yang mereka gajikan pulang ke negara asal ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Katanya, inisiatif pertama ialah Program Pertukaran Majikan (PTM) apabila kerajaan pada 4 Jun tahun lalu bersetuju memberi kelonggaran dalam Permohonan Pertukaran Majikan dengan membenarkan pertukaran dalam sektor yang berbeza.

“Selain itu, mana-mana majikan asal yang tidak mampu untuk menggajikan pekerja asing dibenarkan untuk melepaskan sebahagian pekerja mereka serta tidak akan disenarai hitam.

“Setakat 30 September lalu, seramai 286 majikan membuat permohonan dan daripada jumlah itu, sebanyak 200 permohonan telah disokong dan kelulusan peringkat akhir adalah di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya menjawab soalan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) di sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang berkata, program lain ialah Rekaliberasi Tenaga Kerja (RTK) yang diperkenalkan pada 16 November 2020 dan dilaksanakan sehingga 31 Disember ini.

Katanya, kerajaan melaksanakan RTK bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja susulan daripada pembekuan pengambilan tenaga kerja baharu.

“Program ini adalah inisiatif jangka pendek bagi meregularisasikan Pendatang Tanpa Izin (PATI) dalam negara menjadi pekerja asing yang sah bagi membantu industri mendapatkan tenaga kerja bagi sektor yang kurang diminati rakyat tempatan,” katanya.

Sejak program ini dimulakan sehingga Ogos 2021, katanya sebanyak 3,858 majikan membuat permohonan melibatkan 177,776 pekerja asing.

Sementara itu, katanya sejak tahun 2017 permohonan pekerja asing telah dipermudahkan, iaitu boleh dibuat secara atas talian dan boleh diakses di mana sahaja, manakala keperluan dokumen juga dimuat naik dalam permohonan dan tidak memerlukan penghantaran fail secara fizikal. – HARAKAHDAILY 26/10/21

- Advertisement -