Khidmat Malaysia Nibong Tebal sertai misi bantuan ke Kenyir

Oleh NAZRI ABD HAMID

HULU TERENGGANU:
Khidmat Malaysia Nibong Tebal menyertai misi bantuan kelolaan Pejabat Penyelaras Parlimen Besut, Sabtu lepas.

Penasihat Khidmat Malaysia Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff berkata, mereka seramai 18 orang relawan berkonvoi motosikal selama sepuluh jam dan sempat singgah menziarahi Adun Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Hussin serta makan tengah hari bersama beliau.

Advertisement

Misi selama tiga hari bermula di Jenagor dan Kenyir, Hulu Terengganu dan seterusnya bergerak ke beberapa buah madrasah di sini.

Misi bantuan itu dikoordinasi oleh pengarah program, Dr Riduan Mohamad Nor dengan disertai lima badan bukan kerajaan (NGO) yang turut membawa sumbangan beras, telekung, wang tunai serta bot termasuk enjin sangkut.

“Jutaan terima kasih kepada relawan dari Pejabat Penyelaras Parlimen Besut, Khidmat Malaysia Nibong Tebal, Warga Batu Pahat Johor, Surau Al-Muhsinin Petronas KLCC dan Masjid At-Toyyibin Selayang seramai 67 orang,” katanya.

Menurut beliau, semua barangan sumbangan yang bernilai hampir RM34,000 itu telah diagihkan kepada Madrasah Al-Ansar Lil Banin, Madrasah Darul Zahraa, Kuala Dura, Madrasah Khairul Insan, Jenagor dan beberapa buah lagi di sekitar Hulu Terengganu.

“Misi kali ini juga diisi dengan taujihat Maghrib oleh Dr Riduan dan Ustaz Jundullah sebagai bekalan akhirat dan pengkisahan islah anak seni Zuar XPDC.

“Semua relawan menginap di rumah rakit Kenyir untuk merehatkan badan dan bersantai dengan aktiviti air sebelum bertolak pulang ke Nibong Tebal,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/10/2021