Kerajaan jamin Menteri patuhi SOP di PRN Melaka

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan Menteri Kabinet tidak akan menyalahgunakan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata perkara ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

- Advertisement -

“Saya akan minta menteri tidak menyalahgunakan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin bertanyakan kemungkinan Menteri Kabinet akan menyalahgunakan program rasmi kementerian masing-masing untuk berkempen ketika PRN Melaka.

Wan Junaidi berkata, kerajaan tidak mengamalkan pilih kasih dan meminta semua pihak bekerjasama untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya, terdapat dua keadaan yang dihadapinya, iaitu pertama pihak yang mahukan proses demokrasi dilaksanakan dan ini ditekankan oleh SPR.

“Pada masa sama, KKM dan MKN menekankan keselamatan mereka yang terlibat ketika berkempen dan mengundi. Dari sudut itu, SPR bekerjasama dengan MKN dan KKM untuk mewujudkan SOP yang boleh memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.

“Kita mengambil jalan tengah supaya demokrasi dapat dilaksanakan sebagaimana SPR kehendakkan dan pada masa sama, mewujudkan ruang selamat untuk berkempen dan mengundi,” katanya.

Menjawab soalan asal Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau), katanya SPR sedang membuat persiapan sewajarnya meliputi aspek keperluan bajet pilihan raya, peralatan, logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia, latihan kepada petugas, SOP Pencegahan Covid-19 dan juga aspek lain yang berkaitan bagi menghadapi PRN Melaka.

Katanya, SPR dengan kerjasama MKN dan KKM sedang memuktamadkan penambahbaikan SOP Pencegahan Covid-19 dengan mengambil kira situasi Covid-19 ketika ini.

“Antara tindakan dilakukan ialah menambah 218 saluran mengundi menjadikan terdapat 1,156 saluran mengundi, manakala pusat mengundi sebanyak 248. Ini bertujuan untuk mengurangkan kepadatan di tempat mengundi,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/10/21

- Advertisement -