Dos penggalak secara heterologus untuk penerima Sinovac

- Advertisement -

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melalui satu kenyataan akhbar bertarikh 21 Oktober telah memaklumkan mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak secara heterologus kepada individu yang menerima dos lengkap vaksin Sinovac sekurang-kurangnya 3 bulan yang lalu. Pemberian dos penggalak Pfizer untuk individu yang menerima vaksin Sinovac ini dimulakan dengan individu yang berumur 60 tahun ke atas berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Pemberian ini dilaksanakan secara percuma dan sukarela.

Pelaksanaan vaksinasi secara heterologus telah dimulakan pada bulan September di United Kingdom untuk individu berumur 50 tahun ke atas, pekerja-pekerja barisan hadapan dan individu berumur 16 tahun ke atas yang berisiko tinggi. Individu yang menerima vaksin Astrazeneca akan diberikan vaksin Pfizer atau Moderna sebagai dos penggalak. Sebanyak 3.7 juta dos penggalak telah diberikan kepada individu yang layak di UK.

- Advertisement -

Menurut WHO, pemberian dos penggalak perlu dilaksanakan kerana tahap keberkesanan vaksin yang telah diberikan boleh menurun dari semasa ke semasa dan berlaku pengurangan keberkesanan vaksin terhadap varian-varian baru COVID-19. Pfizer BioNTech pada 21 Oktober 2021 telah mengeluarkan hasil kajian keberkesanan dos penggalak Pfizer terhadap virus COVID-19. Individu yang menerima vaksin Pfizer untuk dos pertama dan kedua telah dipilih untuk kajian tersebut, yang menunjukkan dos penggalak Pfizer 95.6 peratus lebih berkesan melawan virus COVID-19, termasuk varian Delta.

Pelaksanaan program pemberian dos penggalak dapat membantu Malaysia dalam menghadapi fasa pemulihan, dengan mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara. Kadar penggunaan wad Unit Rawatan Rapi untuk pesakit COVID-19 telah menurun dari 1,500 orang pada bulan Ogos kepada 700 orang pada bulan Oktober, dengan kadar kemasukan hospital berkurang dari 3,000 pesakit kepada 1,400 pesakit setiap hari. Usaha memberi penerangan berkaitan vaksinasi perlu diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan keseluruhan masyarakat mendapat perlindungan dari virus COVID-19 dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun virus COVID-19 masih wujud dalam komuniti.

Sumber rujukan:

1. https://covid-19.moh.gov.my/semasa-kkm/2021/10/kenyataan-akhbar-ybmk-21102021-pelaksanaan-pemberian-dos-penggalak-booster-dose 
2. https://www.nhs.uk/conditions/coronavirus-covid-19/coronavirus-vaccination/coronavirus-booster-vaccine/ 
3. https://www.who.int/news/item/10-08-2021-interim-statement-on-covid-19-vaccine-booster-doses

QGENANALYSTS – HARAKAHDAILY 26/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/2284919521796917/posts/3030697733885755/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -