Dewan Negara lulus usul Transformasi Parlimen

KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan usul Transformasi Parlimen bagi melaksanakan transformasi terhadap institusi Parlimen berpaksikan konsep pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman.

Usul dibentangkan Senator Muhammad Zahid Md Arip itu diluluskan selepas dibahaskan 12 senator.

Advertisement

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-udang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika menggulung perbahasan usul itu berkata kerajaan sedang membuat kajian bagi draf rang undang-undang baharu bagi mewujudkan Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Pastinya akta baharu ini memberikan manfaat menyeluruh kepada pegawai perkhidmatan Parlimen serta pegawai guna sama yang (kesemua pihak berkaitan) masih lagi dalam peringkat perbincangan,” katanya.

Menurut Mas Ermieyati, segala usaha bagi melaksanakan usul itu adalah atas prinsip untuk pengasingan kuasa berlandaskan semangat demokrasi iaitu legislatif, perundangan dan kehakiman.

“Oleh sebab itulah Akta Perkhidmatan Parlimen ini amat diperlukan dan kita semua dalam dewan ini haruslah sama-sama mengembalikan kepercayaan kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Zahid ketika membentangkan usul tersebut berkata dengan adanya Jawatankuasa Pilihan Khas Bersama, peranan Parlimen dalam memperjuangkan isu serta permasalahan rakyat akan lebih berkesan.

Beliau berkata peraturan mesyuarat kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga wajar dipinda dan ditambah baik meliputi aspek perjalanan mesyuarat, disiplin ahli serta penetapan ke atas Kod Etika Ahli Parlimen.

Selain itu, Muhammad Zahid berkata jumlah keanggotaan Ahli Dewan Negara mengikut kuota lantikan negeri tidak pernah dipinda dan ditambah sejak mula diperkenalkan pada tahun 1959.

“Keperluan, suara serta permasalahan rakyat pada tahun 1959 tidaklah sama dan tidaklah sekompleks (seperti) keperluan, suara dan permasalahan rakyat di abad ke-21 ini.

“Sebab itulah jumlah keanggotaan Ahli Dewan Negara perlu disemak semula dengan menambah jumlah keanggotaannya daripada 70 orang ketika ini kepada 116 orang, yang mana ia harus terdiri daripada empat wakil setiap negeri dan sekurang-kurangnya 60 orang lantikan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – BERNAMA