Ulama rangka pelan tindakan depani pengundi remaja

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Dewan Ulamak PAS Kelantan merangka pelan tindakan untuk menghadapi kebanjiran pengundi berusia 18 tahun ke atas pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Ketuanya Dato’ Hassan Mohamood berkata, pihaknya sedia maklum mengenai keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan individu usia 18 tahun mengundi.

Katanya, peraturan tersebut secara tidak langsung menyebabkan berlaku peningkatan mendadak jumlah pengundi di semua kawasan parlimen dan Dun di seluruh negara.

- Advertisement -

“Antara strategi Dewan Ulamak PAS Kelantan menguasai media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram dan sebagainya kerana kehidupan golongan belia tidak pernah lekang daripada telefon pintar.

“Maka kita perlu pastikan pengundi muda yang akan mengundi nanti memberi sokongan kepada kita. Inilah antara cabaran besar bagaimana hendak menarik mereka,” katanya pada ucaptama sempena Muktamar Tahunan Kali ke-50 Dewan Ulamak PAS Kelantan di sini semalam.

Selain itu kata beliau memperkasakan gerakan dakwah kepada generasi muda, dengan mendedahkan kepentingan Islam mentadbir sesebuah negara atau negeri.

Menurutnya juga Dewan Ulamak PAS Kelantan akan menganjurkan aktiviti mesra remaja sebagai pendekatan bagi mendekati pengundi muda.

Hassan yang juga Adun Tawang berkata, mengambil kira situasi politik negara sekarang, PAS bertindak sebagai pendamai atau muslih dalam agenda penyatuan ummah.

Katanya ia melibatkan orang Melayu dan Islam selain tidak mengabaikan kepentingan masyarakat bukan Islam.

“Biarpun begitu usaha tersebut tidak semudah yang disangka, namun PAS tetap bersabar dan tabah kerana ganjaran yang dijanjikan Allah sangat besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2021

- Advertisement -