Sumbangan ahli bantu PAS Selangor miliki bangunan sendiri

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

SHAH ALAM: PAS Selangor kini boleh berbangga kerana memiliki bangunan sendiri yang dibeli pada harga RM1.3 juta dengan sebahagian besar dana adalah sumbangan ahli parti.

Perasmian bangunan tiga tingkat di Seksyen 13 di sini, dilakukan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam majlis penuh gemilang, malam tadi.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata idea memiliki bangunan sendiri lahir sejak Almarhum Ustaz Hassan Shukri, memimpin PAS Selangor, manakala projek pembelian bangunan dilakukan pada era Datuk Dr Hasan Ali sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.

Katanya, gerakan pembelian bangunan juga diterajui oleh Bendahari PAS Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad, sebagai Pengarah Pembelian.

“Pada tahun 2019, PAS Selangor membeli bangunan ini dengan harga RM1.3 juta. Melalui beberapa siri perbincangan dengan pemaju, pembelian dilakukan dengan pinjaman tunai secara beransur-ansur.

“Bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus disumbangkan oleh ahli baharu PAS ketika itu, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim. Pada masa sama, PAS melancarkan kutipan dana melalui cara seperti sijil wakaf,” katanya di majlis perasmian bangunan PAS Selangor.

Dr Ahmad Yunus berkata, dalam tempoh singkat nilai bangunan PAS Selangor di kawasan strategik yang telah habis dibayar, kini meningkat kepada kira-kira RM3 juta.

Katanya, PAS Selangor kini merancang untuk memiliki Markas Tarbiah di sebidang tanah milik parti dan usaha akan dilakukan dengan pelbagai cara, termasuk melalui sumbangan ahli parti.

Tuan Ibrahim Tuan Man, menandatangani buku pelawat PAS Selangor – Gambar Facebook Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi

Sementara itu, katanya PAS Selangor yang kini mempunyai kira-kira 100,000 ahli akan terus berusaha meningkatkan keahlian dengan kemasukan ahli baharu kini pada jumlah yang sangat baik.

Katanya, antara cabaran sekarang ialah untuk menarik ahli baharu daripada kalangan generasi muda berikutan perubahan undang-undang pilihan raya yang membenarkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas untuk mengundi dalam pilihan raya.

Beliau berkata, PAS Selangor juga mempunyai hubungan erat dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

“Kerjasama dengan Umno membolehkan kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil Semenyih, manakala dengan PN, kita secara rasmi telah menubuhkan jawatankuasa di peringkat negeri dan Parlimen.

“Walaupun bukan secara rasmi, perbincangan enam mata pemimpin PAS, Umno dan Bersatu, berjaya dilakukan dan hanya melalui hubungan baik itu, kita boleh merampas balik Selangor dari Pakatan Harapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/21

- Advertisement -