Skuad Waja dedah cara asas mahu hentikan jenayah

- Advertisement -

Oleh FAIZAH ARBAIN

SANDAKAN:
Rakyat Sabah terutamanya golongan wanita disaran merebut peluang menyertai Skuad Waja bagi membolehkan mereka mendapat kemahiran asas cara mahu memberhentikan jenayah yang berlaku di sekeliling kita.

Timbalan Pengerusi Program Skuad Waja Sabah, Dr Nafsah Dulajis berkata, pengalaman itu sekurang-kurangnya dapat digunakan bagi diri sendiri.

Katanya program tersebut dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama rakan Strategik NGO Papisma Sabah.

- Advertisement -

“Pada program siri pertama yang diadakan pada 16 Oktober lepas mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai termasuk golongan lelaki.

“Besar harapan Papisma Sabah supaya lebih ramai rakyat Sabah dapat mengikuti Skuad Waja siri kedua yang akan diadakan pada Sabtu ini secara atas talian,” katanya di sini.

Dr Nafsah yang Timbalan Pengerusi 3 Papisma Sabah berkata, peserta akan memperolehi sijil yang diiktiraf sebagai anggota Skuad Waja sekiranya mengikuti program berkenaan.

Menurutnya bagi memeriahkan program, cabutan bertuah juga disediakan di akhir program.

Oleh itu orang ramai yang berminat menyertai program terbabit boleh menghubungi talian, 017 839 7856 atau 017 890 9346.

Pada 17 Oktober lepas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Seri Rina Mohd Harun melancarkan skuad tersebut yang berperanan sebagai ejen serta mata dan telinga kerajaan bagi membantu golongan yang menjadi mangsa keganasan.

Malah kementerian terbabit menyasarkan 100,000 sukarelawan menyertai Skuad Waja atau wanita antijenayah menjelang akhir tahun ini.

Dan sehingga sekarang seramai 20,406 sukarelawan Skuad Waja dilatih di seluruh negara di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Wanita.

Rina berharap peranan Skuad Waja dalam komuniti terutama dalam tempoh pandemik sangat bermakna kerana ia menjadi tunjang kekuatan KPWKM dalam menjayakan agenda pemerkasaan Keluarga Malaysia. – HARAKAHDAILY 25/10/2021

- Advertisement -