Sepakat membawa berkat

- Advertisement -

Oleh NASRUDIN HASSAN

PADA hemat saya, bangsa Melayu adalah bangsa yang paling mudah berunding dan senang diajak berbincang. Sementelah Melayu itu dimuliakan dengan Islam sebagai pegangan.

(Degil adalah suatu sifat yang sangat negatif sebagaimana sombong menjadi sifat yang jijik, bahkan tidak layak bagi seorang Muslim.)

Leluhur bangsa Melayu ini sangat tinggi hematnya, terutama dalam menjaga kepentingan agama dan bangsa. Apa jua isu melanda, mereka hadapi bersama dengan semangat “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Malah sesama bangsa, mereka saling melindungi dan menjaga kepentingan bersama. Tidak membiarkan satu pihak rebah justeru kesannya dirasai oleh semua “ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua”.

- Advertisement -

Bahkan Islam telah menegaskan bahawa kuatnya umat ini dengan bulatnya suara dan tindakan mereka. Menghindari pertelingkahan yang meretakkan hubungan.

Sementara leluhur kita pula menyambut kata dengan “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.

Kini umat Islam khasnya dan orang Melayu amnya sedang diuji terhadap pegangan kuasa politik dan dominasi kuasa ekonomi mereka guna membina masa depan ummah yang kuat atau sebaliknya.

Apapun situasi, umat Islam dan orang melayu tiada pilihan bagi menempatkan diri sebagai umat terbaik seperti mana deklarasi Al Quran, maka mereka mestilah menghentikan perbalahan, menyingkirkan prasangka dan mengikis rasa curiga antara satu sama lain.

Carilah meja bulat, atur kerusi di sekelilingnya lalu duduk bersama menghadap wajah sesama sendiri. Tenung anak mata masing-masing dan rasakan dengan hati kecil betapa umat ini perlukan kalian untuk bersepakat. Justeru “sepakat membawa berkat”.

Usah dibilang jumlah kesalahan. Usah diungkap di mana kesilapan. Sebagaimana kita boleh memaafkan kelemahan diri sendiri, kenapa kita memejam mata untuk melihat kelebihan orang lain?

Kita insan yang tidak sempurna. Kita memerlukan antara satu sama lain untuk membina kekuatan dan kesempurnaan ummah.

Deras sungguhkah arus politik sehingga pelayarnya hilang kemudi? Ganas sangatkah badai politik sehingga bahteranya terhempas di karang?

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi medan ujian untuk melihat apakah bangsa kita telah derhaka pada leluhurnya? – HARAKAHDAILY 25/10/2021

- Advertisement -