PRN Melaka dan muktamar, PAS tiada halangan

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS yakin muktamar tahunan parti itu akan berjalan lancar seiring pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang kedua-duanya berlangsung November ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kelebihan yang ada akan dimanfaatkan sebaiknya untuk berkempen di PRN Melaka, dalam masa yang sama, perjalanan muktamar masih diteruskan.

Ujarnya, pertindihan dua program tersebut tidak menghalang pihaknya untuk menumpukan fokus kepada PRN Melaka, mahupun Muktamar PAS di Terengganu.

- Advertisement -

“Kita pernah mengalami situasi yang sama beberapa kali. Kita ada muktamar, masa itu juga ada pilihan raya, jadi mana-mana petugas yang terpaksa bertugas dulu, kita turun kempen fizikal.

“Sekarang kempen online (dalam talian), lagi mudahlah walaupun kita di Terengganu, kita boleh menyampaikan ceramah malam tu di Terengganu dan dipancarkan ke Melaka.

“Dulu kita fizikal. Fizikal ni kita terpaksa hantar petugas kita yang mana bertugas di kempen pilihan raya, nanti dia akan balik semula ke Terengganu.

“Tetapi kali ini kita yakin lebih mudahlah walaupun ada muktamar tapi ada ruang-ruang yang kita boleh rakam dulu, kita boleh online terus dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Bangunan PAS Selangor di Persiaran Akuatik di Seksyen 13, di sini, malam tadi. Yang turut hadir, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Tuan Ibrahim berkata, pengurusan PRN Melaka lebih terurus dengan pembentukan dua jawatankuasa yang menyelia bahagian masing-masing terdiri Zon Selatan dan Zon Utara.

Katanya, jawatankuasa induk dipengerusikan Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili Zon Selatan, manakala Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad pula mewakili Zon Utara. – HARAKAHDAILY 25/10/2021

- Advertisement -