Model baharu pembangunan Bumiputera akhir tahun ini

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dijangka melancarkan Rangka Kerja Tindakan Pembangunan Bumiputera yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada akhir tahun ini.

Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, dijangka memperincikan model baharu pembangunan ekonomi Bumiputera bagi tempoh 10 tahun akan datang yang menjadi kesinambungan dasar Bumiputera sebelum ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dato’ Mastura Mohd Yazid, berkata rangka kerja itu akan meningkatkan status ekonomi serta sosioekonomi Bumiputera, terutama bagi menghadapi era pasca pandemik Covid-19.

Katanya, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sebagai agensi penyelaras utama bagi pembangunan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera, diberi mandat untuk membangunkan Rangka Kerja Tindakan Pembangunan Bumiputera.

“Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) telah bersidang sebanyak dua kali tahun ini, iaitu pada 26 Januari dan 15 Jun lalu, serta menetapkan beberapa keputusan seperti pembangunan Rangka Kerja Tindakan Pembangunan Bumiputera.

“Rangka kerja ini mengenal pasti beberapa sasaran awal daripada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan RMK12 untuk meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera,” katanya menjawab soalan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Abdullah meminta kerajaan menyatakan status pembangunan kerja tindakan pembangunan Bumiputera seperti diumumkan di bawah RMK12 serta penglibatan agensi kerajaan bermandat Bumiputera seperti Teraju dalam membangunkan rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera.

Mastura berkata, Teraju sebagai sekretariat dalam membangunkan rangka kerja ini telah menjalankan sesi sindikasi dan libat urus bersama 32 kementerian, agensi kerajaan dan pemain industri antara April hingga Julai lalu.

Katanya, satu sesi pemantapan bersama pemegang taruh Bumiputera telah dijalankan bagi mendapatkan maklum balas mengenai program pembangunan dan inisiatif yang telah dikenal pasti di bawah Rangka Kerja Tindakan Pembangunan Bumiputera.

“Ia melibatkan 694 peserta selama empat bulan untuk mengenal pasti program pembangunan dan inisiatif untuk mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah TPB2030.

“Hasilnya, sebanyak 142 program pembangunan dan inisiatif dikenal pasti untuk memacu pembangunan sosioekonomi Bumiputera dengan sumbangan lebihan kendalian kasar sebanyak RM201.5 bilion pada 2030 dan mencipta 406,995 pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, pembiayaan berjumlah RM106.47 bilion dari sektor awam dan swasta akan disuntik ke dalam projek rintis dan inisiatif yang dikenal pasti untuk mencapai sasaran akhir kawasan keutamaan dan kawasan pertumbuhan ekonomi utama.

Katanya, ini akan dapat memperkukuh, mempersiap dan melestarikan perniagaan Bumiputera dengan kemahiran dan pemikiran yang diperlukan untuk kekal berdaya saing dan berjaya di peringkat domestik, serantau dan global.

Selain itu, katanya ini meningkatkan penyertaan syarikat Bumiputera di dalam rantaian nilai global berorientasikan eksport produk bernilai tambah tinggi. – HARAKAHDAILY 25/10/21

- Advertisement -