Kertas Pandora: Kerajaan tidak akan ganggu siasatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengganggu pihak berkuasa sekiranya terdapat laporan terhadap mana-mana pihak atau individu yang memerlukan siasatan lanjut berhubung  pendedahan Kertas Pandora yang didakwa membabitkan fail kewangan sulit beberapa pemimpin negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pada masa ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses mendapatkan maklumat lanjut berhubung pendedahan itu serta mengadakan perbincangan dengan agensi lain termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan koordinasi siasatan berjalan lancar.

Advertisement

“Saya beri jaminan saya akan jemput semua agensi-agensi seperti SPRM, BNM, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan pihak lain supaya penyiasatan dilaksanakan.

“Kita juga akan berbincang untuk menentukan tarikh menetapkan jawapan untuk diberikan kepada pihak Parlimen setelah apa juga keputusan didapati daripada penyiasatan itu nanti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai kesediaan kerajaan berikutan pendedahan Kertas Pandora dalam memastikan kredibiliti dan integriti pentadbiran negara terpelihara.

Wan Junaidi berkata BNM meningkatkan pemantauan dan perisikan dalam mengesan aktiviti kiriman wang tanpa lesen yang menyasarkan kegiatan itu sama ada aktiviti bersindiket dan operator-operator runcit.

Beliau berkata bagi tempoh 2017 hingga 2020, tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan dengan 64 kes telah didakwa di mahkamah melibatkan lebih RM11 juta jumlah denda dan perlucuthakan harta.

Dalam pada itu, jelasnya penggunaan akaun luar pesisir bukanlah suatu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia, namun tindakan akan diambil sekiranya terdapat bukti berkaitan salah laku jenayah mana-mana individu atau syarikat.

Katanya, aktiviti penguatkuasaan dan pematuhan transaksi wang ke luar negara adalah tertakluk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dan akta-akta berkaitan yang merangkumi langkah pencegahan terhadap kegiatan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, pemindahan dana melalui saluran tidak rasmi dan pengisytiharan mata wang di pintu masuk/keluar negara.

Mengenai cadangan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) supaya pihak terlibat dalam pendedahan Kertas Pandora terutama mereka yang mempunyai jawatan dalam kerajaan untuk memberikan jawapan dalam Dewan Rakyat, Wan Junaidi berkata beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai perkara berkenaan.

“Insya-Allah kita akan maklumkan kepada setiap individu yang berkenaan untuk membuat penjelasan, bahkan dibolehkan dalam Parlimen penjelasan peribadi mereka sendiri,” katanya. – BERNAMA