Kawan lama

- Advertisement -

FARIZ Musa ialah kawan lama saya. Dia senior tiga tahun semasa kami di sekolah dahulu. Kalau tidak salah ingatan, beliau sebaya atau muda setahun daripada Mubin Mokhtar, bekas pemain bola sepak Kebangsaan dahulu. Fariz seorang pengawas dan sangat aktif menangkap pelajar-pelajar yang melanggar undang-undang di sekolah. Beliau sangat disayangi guru disiplin.

Setakat yang saya ingat juga, saya tidak pernah ada dalam senarai pelarian akibat dikejar beliau. Bukan bermakna saya seorang pelajar yang baik, tidak. Cuma tidak berkebetulan dengan masa sahaja, kami tidak pernah bertembung. Mungkin waktu mereka berkejaran itu, saya berada di surau. Entahlah, mungkin sahaja. Junior beliau setahun ialah Dr Ustaz Riduan Mohd Nor.

- Advertisement -

Kalau hendak dikirakan dahulu, saya lebih mesra dengan Fariz berbanding Dr Riduan yang saya dengar namanya, tetapi tidak berapa kenal tuan badan. Kecuali di waktu mengejar pelajar-pelajar, beliau seorang yang peramah. Kalau saya bertemu dengan Fariz, kami biasa bertanya khabar masing-masing. Hormat sebagai kawan lama.

Tetapi kini, saya pastinya lebih rapat dengan Dr Riduan kalau berjumpa atas sebab jemaah yang mengikatkan hati kami. Alhamdulillah, ikatan kerana Allah insya-Allah. Kedua-dua mereka kini menjadi orang berpengaruh dalam politik tanah air, tetapi berlainan ideologi. Bertuah saya yang kerdil dan bukan sesiapa ini mengenali keduanya.

Fariz dahulunya tinggal di Marang yang kebetulannya ia adalah Parlimen Presiden PAS. Adiknya sebaya dengan saya. Masih berhubung sebagai alumni sekolah dengan adiknya. Dan kebetulan sekali lagi, adik iparnya juga adalah rakan sebaya sekolah saya. Kecil betul dunia.

Pada kebiasaannya, saya hanya memerhatikan sahaja tulisan-tulisan Fariz yang sentiasa menembak PAS. Maklumlah, sudah jadi musuh, manakan mahu memuji sesama kita pula. Ada sahaja yang tidak kena di mata masing-masing. Itu adalah lumrah dalam berpolitik. Pegangan masing-masing.

Tetapi kali ini, saya rasa agak kelakar dengan tangkap layar yang beliau kongsikan di Facebook beliau. Saya rasa yang saya mahu menjawab untuk tuduhan ini, walaupun saya yakin, terlalu banyak tuduhan beliau kepada PAS sebelum ini, saya ada jawapannya. Cuma saya malas nak bertembung dengan kawan lama.

Tetapi nampaknya hari ini, saya terpaksa juga menjawab kerana saya fikir ia agak lucu. Dan dalam fikiran saya, apa salahnya sekali sekala bergurau balas dengan rakan lama. Asalkan tidak menyebabkan sesuatu yang lebih buruk, sepatutnya ia tidak menjadi masalahkan?

Sudah dia kutuk Presiden saya, saya pun balas balik kepada ‘boss’ besar dia. Saya balas bukan dengan fitnah pun, tetapi balas membetulkan fitnah dan memberikan fakta siapa yang bersalah. Betul tak apa yang saya kongsi itu? Cari sendirilah…

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 25/10/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -