Berita palsu terus dikawal selepas pengungkaian Ordinan Darurat

Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Penularan berita palsu selepas pengungkaian Ordinan-ordinan Darurat akan terus dikawal menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pengungkaian Ordinan-ordinan Darurat juga tidak menghalang kes-kes yang sedang dalam siasatan serta prosiding mahkamah berjalan mengikut undang-undang.

Advertisement

Beliau berkata sepanjang penguatkuasaan ordinan itu, tiada sebarang kompaun (berita palsu) dikenakan kerana tiada peruntukan untuk mengkompaun kesalahan, namun terdapat kes yang dibawa ke mahkamah dan didenda.

“Selari dengan peruntukan dalam Perlembagaan negara, kes-kes yang berlaku sewaktu ordinan ini dikuatkuasakan boleh diteruskan selepas pengungkaian sementara kes-kes yang disemak dan sebagainya bergantung kepada budi bicara Jabatan Peguam Negara untuk diteruskan atau tidak,” katanya ketika menggulung perbahasan usul mengungkai Ordinan-ordinan Darurat di Dewan Rakyat hari ini.

Annuar berkata sejak Ordinan-ordinan Darurat dikuatkuasakan antara 12 Mac hingga 21 Okt lepas, sebanyak 30 kertas siasatan dibuka dengan 26 kes selesai merangkumi 12 kes yang dituduh dan 14 kes diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut atau NFA.

Selain itu empat kes masih dalam siasatan melibatkan satu kes siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia dan tiga kes lagi dalam kajian Jabatan Peguam Negara dan Pengarah Pendakwaan Negeri-Negeri. – BERNAMA