Berbakti kepada ibu bapa

- Advertisement -

KALAU dikumpulkan seluruh kasih sayang kita untuk membalas kasih sayang ibu bapa kita, nescaya kita tidak akan mampu melakukannya.

Kedua ibu bapa kita telah menumpahkan kasih sayang mereka kepada kita semenjak kita dalam rahim ibu kita lagi, di saat itu kita masih segumpal daging, belum lagi digelar manusia. Namun, kasih sayang mereka sudah ada terhadap kita.

- Advertisement -

Kemudian dikendong selama 9 bulan dengan penuh kepayahan, tetapi tetap gembira kerana kasih sayang dan naluri keibuannya terhadap kita. Kemudian di saat mendengar tangisan pertama kita, mereka bersyukur dengan kelahiran kita. Lalu dibesarkan kita sehingga menjadi manusia yang berguna dengan penat lelah dan harta mereka. 

Oleh itu, marilah kita kepada mereka berdua selagi mereka hidup. Ingatlah, seseorang yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibu bapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung.

Ini kerana, Nabi S.A.W pernah menyatakan orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibu bapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ.‏ قِيلَ: مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: ‌‏مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‌‏

“Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab untuk) masuk syurga.”

(Riwayat Muslim (2551))

Sengaja saya ungkitkan kisah dan Hadis ini, agar kita tidak melupakan jasa dan kasih sayang mereka. Agar kita sentiasa menjadi anak yang soleh yang sentiasa memuliakan ibu bapa kita.

Semoga kita terus menerus berbakti kepada mereka selagi mana mereka hidup dan menjadi anak soleh yang berjaya di dunia dan akhirat. Buat yang sudah tiada, sama-sama kita doakan mereka mendapat tempat yang mulia di akhirat sana. Amin.

YB USTAZ DATO’ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 25/10/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/412578727095840/posts/431607881859591

- Advertisement -