Akta gangguan seksual: KPWKM tunggu ‘lampu hijau’

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunggu ‘lampu hijau’ daripada jemaah menteri dan agensi kerajaan berkaitan bagi membentangkan akta berkaitan gangguan seksual.

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pihaknya dalam usaha untuk membawa persoalan tersebut bagi bacaan pertama dijangka Disember ini sebelum persidangan Dewan Rakyat berakhir.

- Advertisement -

Katanya, meskipun banyak peraturan dan undang-undang berkaitan pemakaian ditetapkan kerajaan dalam sektor awam dan swasta sebagai usaha pembanteras, namun pihaknya masih menerima aduan mengenai kegiatan itu.

“Berkenaan masalah gangguan seksual, insya-Allah kami dalam usaha membentangkan kali pertama di Dewan Rakyat jika mendapat pelepasan daripada kerajaan dan agensinya.

“Aduan berkaitan isu tersebut perlu dilaporkan kepada pihak polis, lagi pun kita pun sentiasa bekerjasama rapat dengan polis dalam isu-isu yang melibatkan keganasan dan gangguan seksual,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pada sidang media di Parlimen Malaysia mengenai seruan KPWKM kepada anggota masyarakat untuk menghentikan eksploitasi maruah wanita sebagai bahan gurauan atau lawak jenaka.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang mengesa semua pihak tidak melakukan perbuatan tersebut, semata-mata bagi meraih publisiti murahan di media sosial dan massa.

Beliau turut melahirkan kekecewaan kerana masih wujud lagi individu yang sanggup menjadikan maruah wanita sebagai bahan jenaka, malah menganggap perbuatan tersebut sebagai satu kebiasaan.

“Islam sebagai agama rasmi negara sudah meletakan maruah wanita dalam status yang tinggi dan mulia, jadi setiap anggota masyarakat perlu bertanggungjawab sebaik mungkin.

“Sebagai kementerian yang menjaga pembangunan wanita, kami sentiasa berusaha untuk mengangkat maruah wanita dan kita tidak mahu maruah wanita, ahli keluarga kita dihina dan dimalukan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/10/2021

- Advertisement -