31 tahun Membangun Bersama Islam, Kelantan yang dinamik (siri 1)

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

PANTAS masa bergulir, memecut dan melaju tanpa menoleh ke belakang lagi, hari ini genaplah 31 tahun PAS memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga yang terkenal dengan keunikan budaya dan merupakan jantung hati orang Melayu negara ini. Berdiri bak monumen yang tegal dan kukuh, menjadi cerminan kepada negeri-negeri yang lain, tiga dasawarsa yang penuh dengan kekangan dan serangan bertali arus daripada musuh dan pesaing.

Serambi Makkah ini mendapat reputasinya kerana menjadi pusat pendidikan Islam yang tersohor dalam abad ke-18, 19 dan awal abad 20. Dalam denai sejarahnya, PAS berjaya merengkuh kekuasaan di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum 1959 dengan tokoh-tokoh besar besar PAS bertanding di Kelantan seperti Prof. Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Prai dan tokoh-tokoh lain. Parti berlogo bulan bintang ini dengan dukungan para alim ulama serta pengaruh pondok dan agamawan tempatan memicu pesona rakyat. Negeri agrarian ini berkarektor unik, gedebe dan kepongahan masyarakat tak melunturkan rasa hormat pada sang alim dan lebai, dua kutub ekstrem yang sering diwajahkan pada Melayu Kelantan.

Advertisement

PAS menyertai kerajaan campuran selepas tragedi 13 Mei 1969, Malay belt ini tiada darah orang Cina yang tumpah kerana warganya menjunjung tinggi nilai agama dan patuh kepada arahan ulama. Krisis pelantikan MB Kelantan pada tahun 1977 menyebabkan PAS Kelantan bergolak dan diambil peluang oleh Umno serta munculnya parti serpihah PAS iaitu Berjasa.

PAS kehilangan Kelantan dalam pilihan raya tahun 1978, bahkan hanya berjaya bertahan hanya dengan dua kerusi DUN sahaja. Kepimpinan dan organisasi PAS Kelantan terus bergerak, merancang, mengukuhkan pentarbiahan ahli, menggerakkan kesedaran awam untuk kembali menyokong PAS. Kebangkitan Islam awal abad 15 hijrah menyongsong api semangat dan memotori anak muda untuk bangkit beramal dengan ajaran Islam. PAS adalah parti yang mendapat laba daripada arus kesedaran ini, anak muda yang pulang daripada Asia Barat, Indonesia, kampus tempatan menjadi peserta kebangkitan Islam yang aktif di Kelantan.

Aktivis PAS Kelantan dengan pelbagai latar belakang pendidikan dan sosioekonomi terus menggempur Kelantan, negeri yang juga terkenal dengan bangsal tomoi, kemeriahan kedai kopi dan keunikan budaya. Nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Zakaria Ismail, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Mawardi Ahmad, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Mustapha Wan Rusdi, Ustaz Omar Mohamad, Pak Suhail, dan ratusan tokoh penggerak parti. Rakyat disajikan dengan majlis ilmu dan usaha memulihkan semangat ahli melalui pembinaan kader-kader parti melalui tamrin panjang, mukhayyam dan sebagainya.

Kelantan disuburkan dengan kuliah-kuliah ilmu, Dewan Zulkifli di bangunan PAS Kelantan menjadi saksi bisu akan keseriusan PAS membina fikrah dan pengukuhan ilmu kepada ahli-ahli. Kaset-kaset dicetak dan diedar meluas melalui Pustaka Jihad, apatah lagi dengan simbahan kebangkitan Islam yang sedang merajai fenomena permulaan abad 15 Hijrah. Tidak sedikit aktivis PAS yang mendekam dalam ISA di zaman Dr Mahathir dalam dekad 80-an, antaranya seperti Ustaz Bunyamin Yaakob,  Saudara  Zainudin Abdullah, Kamaruzaman Ismail dan lain-lain lagi.

Kontradik dengan nilai yang PAS suburkan dalam masyarakat, suasana di Kelantan di zaman kerajaan BN saat itu pelbagai kemaksiatan menikam nurani mereka yang cintakan agama. Konsert rock melalui tema Battle of the Bands sering menjadikan Kelantan tempat beraksi di hujung minggu, dikir karut pula merajai masyarakat jembel di desa dan Felda, kedai judi, arak serta pusat pelacuran Lorong Hamzah beroperasi menggamit anak muda dan pelaku maksiat.

Tekanan dan penindasan kepada PAS Kelantan seolah menyuburkan baja perjuangan, ramai aktivis PAS ditukar kerja merata riti jika mereka adalah penjawat awam. Ditambah dengan perisa perbalahan dalaman Umno 1987 antara tim Mahathir dan tim Ku Li, krisis pemimpin Umno dan istana Kelantan maka mempercepatkan kejatuhan Umno dalam pilihan raya umum tahun 1990.

Dr Riduan Mohamad Nor

Pilihan raya umum pada tahun 1990 telah memberikan kejutan yang besar kepada politik negara ini apabila telah berjaya menguasai semula Kelantan setelah tewas pada tahun 1978. Gelombang politik yang agak panas semenjak tahun 1987 telah menyebabkan Umno sebagai parti teras orang Melayu telah berpecah dua apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46. PAS telah bergabung dengan Semangat 46 dan dua buah parti lain iaitu Hamim dan Berjasa. Pemuafakatan politik ini dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan telah berjaya memenangi negeri Kelantan dengan menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum pada tahun 1990. PAS yang telah memenangi kerusi yang terbanyak telah mencadangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sebagai Menteri Besar Kelantan. (bersambung…) – HARAKAHDAILY 25/10/2021

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.