PRN Melaka: PN, MN perlu kerjasama, elak PH menang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) perlu bekerjasama dengan tidak mempertaruhkan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kepada Pakatan Harapan (PH).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa kedua-dua parti berunding bagi mengelakkan perpecahan dalam parti kerajaan.

- Advertisement -

“Jangan pertaruhkan kemenangan PRN Melaka kepada PH disebabkan perpecahan setelah kita menjadi kerajaan hari ini disebabkan oleh perpaduan antara kita. Perpaduan adalah penyelamat, perpecahan adalah azab dan sengsara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan tentang formula perundingan di PRN Melaka iaitu kerusi penyandang kekal pada penyandang.

Menurut Mohd Khairuddin, ia bermakna Barisan Nasional (BN) akan kekal bertanding dengan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dengan dukungan undi PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 14 kerusi ini sangat selamat untuk dimenangi Umno.

“Bersatu kekal bertanding dua kerusi yang disandang. Kemenangan adalah sangat dijangka dengan dukungan undi Umno, BN dan PAS,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, kerjasama antara PN dan MN mampu memenangi lima lagi kerusi di PRN Melaka pada 20 November nanti.

“Dengan itu, PN dan MN gagah untuk memenangi PRN Melaka dengan 21 kerusi daripada 28 kerusi DUN Melaka, PH boleh tutup buku,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 24/10/2021

- Advertisement -