Jabatan Kesihatan Sandakan hargai sumbangan JAM Sabah

Oleh FAIZAH ARBAIN

SANDAKAN: Usaha dan penat lelah anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Sabah selama tiga bulan menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin dan mengumpul data, mendapat pengiktirafan Jabatan Kesihatan Sandakan.

Komandan JAM Kawasan Sandakan, Rahman Johari, berkata pihaknya merakamkan ucapan terima kasih di atas penghargaan Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar.

Advertisement

Katanya, JAM Sabah berharap kerjasama antara JAM dan kementerian Kesihatan akan berterusan sehingga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjaya direalisasi sepenuhnya, terutama di daerah Sandakan.

“Penghargaan ini dapat membangkitkan semangat seluruh anggota JAM untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada tanah air tercinta,” katanya di sini, hari ini.

Komandan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Sandakan, Rahman Johari

Rahman yang juga Pegawai Kewangan JAM Sabah menghadiri majlis itu, semalam, bagi menerima penghargaan tersebut.

Katanya, JAM Negeri Sabah teruja dengan penghargaan itu yang secara tidak langsung memberi semangat kepada anggota JAM untuk terus mencurahkan bakti kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 24/10/21