Apa kewajaran Pulau Pinang bina asrama pekerja asing

Oleh NAZRI ABD HAMID

BALIK PULAU:
PAS Pulau Pinang mempersoalkan mengenai kewajaran kerajaan negeri merancang membina asrama pekerja warga asing di kawasan Teluk Kumbar, di sini.

Kerajaan negeri dilihat lebih berminat menyelesaikan isu pekerja asing berbanding masalah rakyat dan pekerja tempatan.

Advertisement

Antara kemudahan kepada rakyat yang masih terbengkalai hingga kini ialah projek pembinaan Pasar Awam Teluk Kumbar.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, beliau telah bangkitkan perkara itu beberapa bulan yang lalu.

“Antara persoalan yang sepatutnya kerajaan negeri mengambil perhatian adalah nasib pekerja- pekerja tempatan yang tidak diberikan perhatian penempatan selama ini.

“Ramai pekerja sektor perkilangan tempatan yang memerlukan tempat tinggal yang datangnya dari negeri-negeri jiran yang turut menyumbang kepada kepesatan kemajuan perkilangan di negeri ini.

“Tindakan kerajaan itu juga dipertikaikan kerana ianya selain daripada tidak prihatin kepada pekerja tempatan, ia juga membawa banyak kemusnahan dan kerosakan berbanding kebaikan kepada masyarakat dan persekitaran,” ujarnya

Sebagai contoh, katanya banyak implikasi buruk bakal berlaku antaranya kesan sosial terhadap masyarakat atau komuniti tempatan, kesan pembangunan yang tidak seimbang.

Menurutnya, selain daripada kesesakan kenderaan di jalan Teluk Kumbar-Bayan Lepas susulan pembnaan asrama itu, kawasan perkampungan juga bakal hilang.

“Untuk lebih efektif, kerajaan sepatutnya membuka ruang kawasan yang lebih hampir dengan kawasan zon perkilangan dan industri seperti di Batu Kawan untuk penempatan asrama itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2021