Tumpu menangi hati pengundi 18-21 tahun

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Ariff Abdullah mengharapkan bakal pengganti jawatan itu memberi tumpuan untuk memenangi hati pengundi muda berusia dalam lingkungan 18 hingga 21 tahun yang akan menjadi pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau yang akan melepaskan jawatan itu berkuat kuasa hari ini, berkata, perkara itu perlu untuk menghadapi PRU akan datang kerana Kelantan sahaja mempunyai sebanyak 324,000 pengundi baharu.

“Penumpuan khusus perlu diberikan kepada golongan anak muda, saya yakin anak muda sekarang mereka tidak memilih berdasarkan parti. Sebab itu kita perlu mengatur gerak langkah bagaimana nak tackle pengundi muda ini kerana saya yakin mereka (pengundi 18 tahun) tidak memilih berdasarkan parti.

Advertisement

“Kalau dahulu mak ayah PAS, anak pun PAS tetapi trend terkini mereka mungkin memilih berdasarkan isu semasa, yang mana mereka melihat pimpinan mana boleh bersama rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS negeri ke-62 di sebuah hotel di sini hari ini.

Oleh itu katanya, Dewan Pemuda mesti turun ke lapangan serta memberi tumpuan kepada aktiviti berasaskan gerak kerja pilihan raya.

Selain itu katanya, kuasa media sosial juga perlu dimantapkan bagi memenagi hati golongan anak muda bagi mengelak kelemahan sebagaimana berlaku pada PRU14 yang lalu.

“Berdasarkan kajian yang telah dibuat juga, kelemahan kita pada PRU14 lalu adalah kerana kita gagal menangi hati golongan anak muda melalui media sosial.

“Saat ini Dewan Pemuda perlu fikir bagaimana untuk menguasai medsos dan melalui penerangan tazkirah apa sahaja kebaikan boleh kita tawarkan kepada anak-anak muda.

“Namun dalam ingin memenagi hati mereka kita jangan terikut sebagai ‘cybertroper’ yang dibuat oleh pihak lawan untuk bina persepsi negatif, justeru itu kita mahu anak muda bersama dengan kita kerana mereka faham dan yakin dengan kebolehan PAS,” katanya.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pemuda PAS Kelantan selama dua tahun enam bulan itu bagaimanapun berasa lega sekiranya tempoh jawatan itu tamat, namun cukup bimbang dengan perkembangan anak muda sekiranya gagal memenangi hati mereka.

“Saya secara peribadinya bila hari ini sekiranya ditakdirkan habis tempoh dalam pemuda dua perasaan dirasa iaitu cukup bimbang perkembangan anak muda sekiranya kita gagal menangi hati anak muda dan satu lagi seolah terlepas sedikit bebanan kepada saya sebab saya pun dah umur 40.

“Nak suaikan diri dengan anak-anak muda secara peribadinya agak jauh sikit. Sesiapa sahaja dilantik perlu menjiwai anak muda. Itu adalah cabaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2021