Kampung Mangkuk, Penarik diiktiraf kampung pelancongan Terengganu

- Advertisement -

SETIU: Kerajaan negeri hari ini mengisytiharkan Kampung Mangkuk dan Kampung Penarik di daerah Setiu sebagai kampung pelancongan negeri yang pertama di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata pengisytiharan itu adalah berikutan kedua-dua kampung tersebut masih mengekalkan identiti perkampungan nelayan tradisional dengan pelbagai tarikan dan keunikan tersendiri.

- Advertisement -

“Keistimewaan kedua-dua kampung ini juga membolehkan ia disenarai pendek sebagai calon dalam ‘The Best Tourism Village’ yang turut bersaing dengan dua kampung iaitu Miso Walai, Sabah dan Kampung Bario, Sarawak di bawah program Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

“Pengisytiharan ini diharap akan terus melonjakkan taraf sosioekonomi penduduk tempatan terutama penggiat industri pelancongan, kebudayaan serta warisan dan kerajaan negeri pula akan terus membantu untuk memperkasakan aktiviti serta produk pelancongan di kedua-dua kampung ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan tersebut.

Antara aktiviti menarik yang terdapat di dua kampung tersebut ialah pembuatan makanan tradisional dan kraftangan, pakej menyusuri sungai, keindahan seni bina Melayu klasik di Terrapuri Heritage Village, program konservasi tuntung laut, Rumah Botol serta aktiviti mencari lokan dan kepah.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata penubuhan komuniti pelancongan dikenali sebagai Pancaran Delima di kawasan tersebut juga bakal menarik kedatangan lebih ramai pelancong melalui pelbagai pakej yang akan ditawarkan.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga turut mengambil inisiatif mewujudkan kawasan pantai yang selamat kepada pengunjung dengan kawalan keselamatan sepanjang masa.

“Kita turut berterima kasih kepada produksi filem tempatan dan antarabangsa yang sering menjadikan Terengganu terutama di dua kampung ini sebagai lokasi penggambaran kerana ia juga adalah promosi untuk industri pelancongan negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Ariffin turut menyerahkan replika cek bernilai RM100,000 kepada Pegawai Daerah Setiu Rosli Latif bagi program pengindahan produk pelancongan di daerah tersebut. – BERNAMA

- Advertisement -