Empat terima anugerah tokoh pada Muktamar Pemuda PAS Sabah

Oleh AIZAL SAMSARUDDIN

SANDAKAN:
Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini diadakan secara hibrid melibatkan 16 Dewan Pemuda PAS kawasan yang dibuat secara zon.

Muktamar kali ini menghimpunkan 128 perwakilan melibatkan 16 Dewan Pemuda PAS kawasan dan 20 orang pemerhati serta wakil pemerhati daripada Pemuda PAS Malaysia, Arifiriazul Paijo.

Advertisement

Muktamar dimulakan dengan mendengar ucaptama Ketua Pemuda, Zulzaim Hilmee Abidin dengan tema “Memimpin Generasi Kemenangan Islam”.

Muktamar kali ini juga turut diserikan dengan penyampaian anugerah kepada pemuda kawasan dan sektor serta jabatan yang aktif dalam menggerakkan Pemuda PAS Sabah.

Pemuda PAS Semporna dan Pemuda PAS Beaufort serta Sektor Komunikasi Strategik dan Jabatan SRITI masing-masing telah menerima anugerah sebagai Pemuda Kawasan Aktif, Pemuda Kawasan Harapan, Sektor Terbaik serta Lajnah dan Jabatan Terbaik.

Uniknya muktamar ini juga turut memberikan anugerah khas kepada IMBOSS dan MARSIS atas khidmat membantu pengurusan Dewan Pemuda PAS negeri.

Selanjutnya, empat individu turut diberi anugerah selaku tokoh pemuda sempena muktamar kali ini.

Mereka ialah mantan Bendahari DPPNS, Khairul Yusri Mat Jusof, mantan Exco DACS Sabah, Amir Fadhli Razali, mantan Ketua Pemuda PAS Putatan, Ahmad Tariq Abd Mutalib serta mantan Ketua Pemuda PAS Tawau, Nasir Che Ali. – HARAKAHDAILY 23/10/2021