Titah Sultan Nazrin untuk pemimpin berintegriti tinggi

KUALA LUMPUR: Titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini jelas menampakkan kekecewaan baginda terhadap pemimpin-pemimpin negara yang tidak berintegriti.

Presiden Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM), Dato’ Sirajuddin Salleh berkata, baginda mengungkapkan bahawa ummah rindu kepimpinan yang tidak zalim, menindas, menipu dan munafik.

Katranya, QIAM menjunjung kasih di atas titah ucapan dan teguran bernas baginda, yang sebenarnya juga membawa rasa isi hati rakyat jelata keseluruhannya.

Advertisement

“Rakyat sebelum ini telah membuat teguran seumpamanya melalui pelbagai saluran dan media namun ianya tidak diendahkan oleh pihak-pihak berkenaan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pada awal titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, baginda telah menegaskan betapa bertuahnya umat Islam di seluruh dunia kerana dianugerahi Allah SWT dengan agama Islam, Kitab suci Al Quran serta seorang Rasulullah SAW yang terakhir untuk menyampaikan ajaran agama kepada seluruh ummahnya.

Baginda juga, ujarnya menegaskan agar umat Islam di negara ini terus mematuhi perintah Allah SWT dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang.

Akhir-akhir ini, katanya Timbalan Yang di-Pertuan Agong mendapati tersebar luas di media-media massa perlakuan rasuah, salah urus tadbir, nepotisme dan penyelewengan khazanah awam serta salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin-pemimpin.

“Sedihnya, ada ungkapan kluster mahkamah bertaburan di media sosial. Perlakuan sedemikian yang dilakukan terutamanya oleh pemimpin-pemimpin politik dan penjawat awam boleh menjadi punca kepada keruntuhan negara dan tamadun bangsa,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, baginda dalam titahnya juga menyeru agar semua rakyat termasuk pemimpin-pemimpin supaya berjihad untuk menghapuskan rasuah.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin negara serta penjawat awam yang diberi amanah hendaklah menjalankan tugas dengan penuh berintegriti berlandaskan hukum yang terpakai kini kerana rasuah barah yang amat parah.

Beliau berkata, warga QIAM sekali lagi menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas titah ucapan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan sama-sama berkongsi isi hati terhadap saranan baginda agar seluruh rakyat meninggalkan perlakuan rasuah serta penyelewengan yang hanya merosakkan maruah bangsa dan tamadun negara.

“QIAM dengan sukacita turut menggesa pemimpin-pemimpin yang terjebak dalam perbuatan jijik ini supaya merehatkan diri dan memberikan teraju kemudi kepada generasi muda yang lebih beramanah dan berintegriti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/10/2021