PM akan lancar konsep ‘Keluarga Malaysia’

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan melancarkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dibawa kerajaan di bawah pimpinannya pada Sabtu.

Majlis pelancaran yang akan turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg itu, diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini.

Advertisement

Pada majlis itu, Ismail Sabri akan menyampaikan ucapan pelancaran dan melakukan simbolik pelancaran, serta menyaksikan montaj konsep yang diperkenalkannya itu.

Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran diperkenalkan Ismail Sabri menerusi ucapan sulungnya, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan dan membentuk kerajaan baharu pada Ogos lepas.

Menerusi ucapan Ismail Sabri semasa prapelancaran Keluarga Malaysia pada 8 Okt lepas, Perdana Menteri berkata idea itu dipilih kerana konsep sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahlinya terbela.

“Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai-nilai Keluarga Malaysia yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur, dan inayatnya memanfaatkan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek turut hadir bagi menyaksikan raptai majlis pelancaran itu yang berlangsung malam ini di BCCK.

Raptai penuh itu berjalan lancar dalam suasana norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Antara pengisian yang diadakan pada majlis itu termasuk persembahan tenun dan tarian kebudayaan Sape Kue oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak. – BERNAMA