Pencegahan dalam perubatan

- Advertisement -

PERSOALAN 1 – Wiqayah atau pencegahan dari COVID-19 ada juga yang mengatakan dengan zikrullah, selawat dan sebagainya walaupun mereka tidak ramai yang menjadikan al-Quran dan amalan sebagai Wiqayah. Sedangkan itu juga vaksin sebenarnya. Adakah kaedah pengubatan bacaan syifa itu sama konsep dengan vaksin?

- Advertisement -

Jawapan:

Tiada perseteruan antara bacaan doa syifa, selawat dan sebagainya dengan perubatan moden. Malah ianya boleh teruskan beramal dengan zikrullah, selawat dan sebagainya itu. Tiada menjadi halangan dalam perubatan. Dalam masa sama, ikhtiar secara fizikal melalui SOP dan vaksin diteruskan juga. Ikhtiar seperti yang KKM suruh buat itu tidak menjadikan kita terkeluar dari Syariat Islam. Malah agamawan dan mufti seantero dunia pun menyuruh patuh apa yang dianjurkan oleh pakar-pakar kesihatan. Tidak perlu kita membataskan kaedah-kaedah perawatan ini.

Malangnya segelintir kecil kita tidak boleh menerima ilmu perubatan moden yang kononnya dari Barat. Sedangkan ilmu perubatan ini Fardu Kifayah yang wajib bagi umat Islam menguasainya. Jika kita hanya mengiktiraf pengubatan zikrullah atau syifa semata-mata bagi menangani penyakit umat, maka terkebelakanglah kita dari sudut perkembangan semasa. Saya bukan menghina atau menafikan pengubatan syifa, Nauzubillah. Teruskan pengubatan tersebut bila-bila masa pun. Namun jangan mendikotomi kaedah-kaedah ini.

Perubatan moden juga sebahagian dari Islam yang pernah dipelopori oleh cendekiawan Islam satu ketika dahulu. Kegemilangan sejarah perubatan ini jangan pula kita nafikan.

Persoalan 2 – Perkara sedemikian pernah dilakukan anak Sahabat Nabi S.A.W bernama Urwah bin Zubair. Beliau terpaksa dipotong kaki disebabkan penyakit seperti kanser. Beliau menggunakan pendekatan zikir, solat dan baca Quran demikian itu juga adalah vaksin dalam bentuk zikrullah. Itu juga bentuk pencegahan.

Jawapan: 

Dalam masyarakat awam tidak boleh menerima pakai hujah sebegini. Takkanlah semua kes kanser yang boleh dilakukan pembedahan serta mempunyai ruang zhan yang tinggi untuk sembuh, ingin dibiarkan menggunakan pendekatan zikir, solat, baca Quran dan lain-lain sahaja? Amalan itu tidak menjadi masalah, boleh teruskan, pembedahan pun dibenarkan oleh syarak.

Amalan Sahabat Nabi S.A.W, wali atau orang warak tidak boleh dihukumkan secara sama rata dengan masyarakat awam. Jika tuan nak buat ujikaji, boleh mai klinik ini, kita berkhatan tanpa bius.

Persoalan 3 – Antara cara Wiqayah lain juga adalah Herba seperti Habbatus Sauda dan selainnya. Apakah benar?

Jawapan: 

Buat masa ini penggunaan herba, habbatussauda, madu tidak terbukti mencegah ataupun merawat COVID-19.

Persoalan 4 – Untuk mengukuhkan antibodi ada dengan bentuk zikrullah dan herba. Betul ke?

Jawapan:

Pembentukan antibodi melalui vaksin adalah secara spesifik terhadap virus. Manakala antibodi spesifik terhadap COVID-19 tidak terbentuk dengan kaedah zikrullah dan herba. Belajarlah kembali ilmu imunologi, nescaya tuan akan memahami lebih mendalam.

Persoalan 5 – Berkaitan vaksin yang sekarang ini ada manusia yang tidak selesa untuk menjadikan vaksin tersebut sebagai jalan Wiqayah atau pencegahan. Maka boleh ke mereka gunakan cara lain?

Jawapan: 

Nyatakan cara itu secara definitif, jika hanya sekadar dakwaan dan testimoni, ianya bersalahan dengan disiplin ilmu dalam perubatan dan syariat.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 22/10/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1033106371/posts/10223732215986730/

- Advertisement -