PAS sokong Malaysia tidak sertai Perjanjian Abraham

KUALA LUMPUR: PAS menyokong sepenuhnya ketetapan Kerajaan Malaysia untuk tidak menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel dan terus memperkasakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk menuntut sebuah negara Palestin yang merdeka.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia sekali gus menolak kenyataan seorang menteri negara haram Israel dalam satu temuramah dengan portal berita Erem News bahawa Malaysia berkemungkinan akan menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel dan menyertai Perjanjian Abraham (Abraham Accords).

“Sebagaimana yang diketahui umum, rejim zionis Israel adalah penjajah yang menjajah Palestin yang kemudiannya mengisytiharkan Israel sebagai sebuah negara yang merdeka pada tahun 1948 di atas negara yang dijajahnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Advertisement

Katanya, rejim zionis Israel menghalau rakyat Palestin dari kampung halaman dan tanah air mereka sendiri,  merobohkan dan merampas rumah, kampung, bandar dan negara rakyat Palestin, mengamalkan diskriminasi, kezaliman dan kekejaman ke atas rakyat Palestin malah lebih teruk dari dasar apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan satu ketika dahulu.

Malah, ujar beliau rejim zionis Israel telah banyak kali melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mengamalkan polisi yang kejam ke atas rakyat Palestin serta menafikan hak asasi rakyat Palestin di tanah air mereka sendiri.

Beliau berkata, sewajarnya bukan sahaja tidak satupun negara yang perlu menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel malah negara haram Israel wajar diboikot dan dinafikan kewujudannya di muka bumi ini.

Ini, tambahnya kerana adalah tidak masuk akal di zaman yang serba maju ini, Palestin adalah satu-satunya negara yang masih dijajah secara terang-terangan di dunia ketika ini.

“Semoga Palestin dan rakyatnya akan beroleh kemenangan serta merealisasikan kewujudan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka,” ujarnya lagi.

Kelmarin, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdulllah berkata, Malaysia secara tegas menafikan kenyataan oleh menteri Israel semasa wawancara dengan Erem News baru-baru ini yang mendakwa Malaysia mungkin akan menyertai Perjanjian Abraham dan menormalkan hubungan dengan Israel.

Tegasnya, Malaysia teguh dengan komitmennya yang senantiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang pencerobohan Israel yang berterusan serta penindasan sistematik di bumi Palestin.

Beliau berkata Malaysia akan terus aktif melaksanakan agenda bilateral Palestin, termasuk dalam pelbagai forum serantau dan antarabangsa untuk merealisasikan aspirasi rakyat Palestin demi kebebasan dan Negara Palestin yang merdeka.

“Sokongan berterusan Malaysia kepada perjuangan Palestin juga sebagai pengiktirafan terhadap aspirasi generasi baharu pejuang dan aktivis Palestin,” katanya dalam satu kenyataan. – HARAKAHDAILY 22/10/2021