PAS Kawasan Bukit Gantang bantu mangsa banjir

- Advertisement -

Oleh JAUDIN M AMIN

BUKIT GANTANG: Hujan lebat sejak petang semalam, menyebabkan beberapa buah kampung dekat sini, ditenggelami banjir sehingga awal pagi ini.

Hasil tinjauan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mendapati kira-kira 200 buah rumah terlibat, namun jumlah kerugian setakat ini, belum dapat dipastikan.

- Advertisement -

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Muhammad Faisal Abdul Rahman, berkata Jabatan Amal telah digerakkan sejak lewat petang semalam, untuk meninjau dan membantu penduduk yang terjejas akibat bencana ini.

Antara kampung yang dilanda banjir adalah Kampung Paya, Kampung Tengah, Kampung Menteri, Matang Gelugor, Simpang Temelok, Kuala Trong, Sungai Bemban, Jelapang, Sungai Petai dan Sendok Seberang.

Selain itu, Jabatan Amal membersihkan pokok yang tumbang akibat ribut serta membantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, mengawal lalu lintas ketika kerja pembersihan dilakukan.

“Beberapa keluarga telah ditempatkan di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Sungai Bemban, berikutan kenaikan paras air malam semalam,” katanya.

Anggota Jabatan Amal membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat membersihkan pokok tumbang

Sementara itu, Jabatan Amal Bukit Gantang meneruskan khidmat masyarakat membersihkan beberapa buah rumah yang ditenggelami banjir.

Komandan Jabatan Amal Kawasan, Ridzuan Basheer, berkata gerak kerja dengan kekuatan 10 anggota, bermula sejak jam 10 pagi dan berakhir kira-kira jam 2.15 pagi.

“Ketika dalam perjalanan pulang, sebatang pokok tiba-tiba tumbang dan kami menyambung tugas membersihkan pokok tersebut yang berakhir pada jam 3 pagi.

“Pusat Khidmat PAS Parlimen Bukit Gantang bersama Jabatan Amal akan meneruskan kerja pembersihan rumah hari ini serta mengedarkan hamper makanan kepada mangsa banjir yang terlibat”, katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/21

- Advertisement -