Gurauan rogol: ‘Wake-up call’ untuk industri drama, filem negara

Dr Rosni Adam
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Insiden terlepas cakap seorang pelakon mengulas mengenai satu babak rogol yang dilakonkannya dalam sebuah rakaman program televisyen perlu menjadi ‘wake-up call’ kepada industri drama dan filem negara.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Rosni Adam, berkata ini supaya industri lebih bertanggungjawab terhadap kesan filem atau lakonan kepada masyarakat.

- Advertisement -

“Sudah tiba masanya perfileman negara menghasilkan filem yang berkualiti tinggi tanpa adegan murahan yang memualkan, mempromosi seks dan pergaulan bebas.

“Apa jua perbuatan yang boleh menormalisasikan jenayah walaupun secara gurauan, adalah tidak wajar dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, jenayah rogol adalah jenayah serius terhadap kaum wanita dan merupakan pencabulan hak dan maruah wanita tanpa mengira umur, bangsa, agama, paras rupa wanita itu.

Oleh itu katanya, ia memerlukan keseriusan tindakan semua pihak dalam menghadapi, mencegah dan membenteras jenayah berkenaan.

Pada 19 Oktober lalu, Fauzi Nawawi mengulas mengenai satu babak rogol yang dilakonkannya bersama seorang pelakon wanita.

Perkongsiannya mengundang kemarahan netizen, apabila Fauzi berkongsi secara terperinci menceritakan tentang babak itu menerusi program Rumah 107, Fauzi bersama dua tetamu undangan lain, Fizz Fairuz dan Zul Huzaimy berkongsi tentang watak jahat lakonan mereka.

Bagaimanapun, Fauzi telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pelakon wanita itu.

“Kita perlu lah menerima permohonan maaf pelakon tersebut dan mendoakan agar dia terus diberi kekuatan-Nya dalam merealisasikan azamnya untuk menjadi insan yang lebih baik,” kata Dr Rosni.

Menurut Dr Rosni, industri perfileman negara perlu mempunyai individu yang sayangkan agama, bangsa dan negara untuk terlibat sama menghasilkan filem yang bermutu dan patuh syariah.

Katanya, Malaysia perlu mempunyai alternatif lain terhadap industri filem kini yang banyaknya berkisar tentang cinta, serta perkara-perkara yang negatif.

“Kita kekurangan filem-filem yang boleh meningkatkan motivasi, semangat patriotik ataupun filem-filem yang berunsur sejarah atau yang berkenaan dengan orang yang berjaya.

“Contoh memang ada filem Dato’ Lee Chong Wei, Ola Bola dan sebagainya, tetapi malangnya, ia tidak diarusperdanakan. Jadi perlu ada perubahan dalam hala tuju industri negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2021

- Advertisement -