Bahtera kasih menuju bahagia

- Advertisement -

SEMUA pasangan suami isteri mendambakan kebahagiaan hidup berkeluarga yang berkekalan. Namun menjadi lumrah kehidupan, hubungan yang terjalin ini akan diuji dengan pelbagai ujian yang kadangkalanya berakhir dengan perceraian. 

Berdasarkan statistik oleh JAWI, sejak tahun 2016 hingga 2020 terdapat 10,564 kes perceraian telah didaftarkan di Wilayah-wilayah Persekutuan, belum termasuk di negeri-negeri lain.

- Advertisement -

Antara punca penceraian yang berlaku ialah tiada persefahaman antara suami dan isteri, pengabaian tanggungjawab, campur tangan pihak ketiga dan masalah kewangan. Yang membimbangkan, ada juga perceraian yang berlaku kerana sebab-sebab yang amat remeh yang boleh diselesaikan dengan cara yang baik.

Jadi, saya mengambil kesempatan di dalam khutbah hari ini untuk mengajak kita semua memelihara nikmat hidup berumah tangga dengan menghayati dan mengamalkan panduan hidup bersyariat.

Hak dan tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga hendaklah disempurnakan dengan memastikan keperluan rohani dan jasmani isteri serta anak-anak dapat ditunaikan.

Sentiasalah bersabar dan meredhai isteri serta menghargai segala kebaikannya. Terimalah kekurangan yang ada pada isteri. Ingatlah pesan Nabi S.A.W dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda:

‎لاَ يَفْرَكْ مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَةً إِنْ كَرِهَ مِنْهَا خُلُقًا رَضِيَ مِنْهَا آخَرَ

“Janganlah seorang beriman membenci (isterinya) yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu sikap daripada isterinya, pasti (masih ada) sesuatu yang dia redhai pada isterinya.”

(Riwayat Muslim (1468))

Cuba amalkan sikap untuk saling melengkapi antara satu sama lain dan perbaikilah kelemahan serta kekurangan masing-masing dengan sentiasa bermuhasabah dan berusaha ke arah yang lebih baik. Insya-Allah mawaddah dan rahmah yang didambakan di dalam keluarga dapat kita kecapi.

YB USTAZ DATO’ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 22/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/412578727095840/posts/429417842078595

- Advertisement -