Tazkirah 24 jam YADIM, seiring norma baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tazkirah 24 Jam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersempena menyambut Maulidur Rasul 1443H dilihat sebagai satu pendekatan baharu yang seiring dengan keperluan semasa dan norma baharu.

Pengerusi Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) Cawangan Perak, Zulhafeez Ahmad Zahidi, mengucapkan tahniah kepada penganjur memandangkan usaha itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record.

- Advertisement -

Katanya, program yang berlangsung secara atas talian itu dijalankan dengan menfokuskan kepada penghayatan perjalanan hidup junjungan besar Rasulullah SAW menerusi perkongsian Sirah Nabawiyyah dari kitab Rahiq Al-Makhtum Al -Mubarakfuri.

“Sekitar 24 orang asatizah yang ditampilkan bagi mengisi setiap slot berkaitan dengan kehidupan Rasululahh SAW untuk difahami dan dihayati sebaiknya.

“Konsep pengajian dan dakwah yang inovatif mampu menarik lebih ramai golongan muda dan masyarakat awam mengikuti majlis-majlis ilmu daripada asatizah dan ilmuwan Islam tanah air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Zulhafeez, ILMAM Perak berharap YADIM akan terus komited merangka dan menyusun program serta aktiviti yang mampu membuka peluang melebarkan dakwah kepada masyarakat dalam pelbagai pendekatan inklusif dan terkini.

Katanya, YADIM juga disaran mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melestarikan matlamat untuk memastikan keindahan Islam dan nilai-nilainya dirasai oleh rakyat Malaysia walaupun berbilang kaum dan berlainan budaya.

“Ini akan merealisasikan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ yang mengutamakan perpaduan pelbagai kaum dan sifat saling menghormati antara satu sama lain.

“Semoga YADIM dibawah kepimpinan Ustaz Nasruddin Hassan sentiasa menyegarkan dakwah Islam di Malaysia dengan usaha berterusan dengan pelbagai lapangan mengikut kehendak semasa,” katanya – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -