Surat terbuka untuk pemimpin Umno

- Advertisement -

SAUDARAKU dalam parti Umno,

Saya hanya ahli biasa dalam PAS. Surat terbuka saya ini tidak ada kaitan dengan mana-mana pemimpin PAS. Ia adalah daripada saya sendiri — seorang Islam-Melayu yang begitu sayangkan saudara yang seagama dan sebangsa dengannya.

Saudaraku yang dikasihi,

Setiap kali saya melontarkan pandangan untuk cuba memberi faham kepada rakan-rakan mengenai usaha PAS — parti saya — cuba menyatukan ummah, sering saya disindir: ‘Mengapa tidak ajak PAN sekali, mereka pun Islam juga?’

Mengapa saya kata ‘disindir’? Bukankah apa yang dikatakan itu baik?

Ya, memanglah baik tetapi saya anggap itu sindiran kerana lazimnya ungkapan itu datang daripada orang Umno yang menolak usaha PAS untuk menyatukan mereka dengan BERSATU.

- Advertisement -

Di permukaan, memanglah kita nampak logik persoalan itu dibangkitkan. BERSATU serpihan Umno. Parti PAN pula pecahan daripada PAS.

Namun jika kita susuri hingga ke dasar asbab terbentuknya dua parti itu juga sikap semasa mereka, ia ternyata berbeza.

Pemimpin Parti PAN sejak keluar meninggalkan PAS, tidak pernah mengatakan mahu berpatah balik. Sejak awal dahulu, mereka taat setia kepada DAP, dan asbab mereka keluar meninggalkan PAS dahulu juga adalah kerana DAP.

Mereka tidak bersetuju dengan langkah pimpinan utama PAS tidak mahu lagi meneruskan kerjasama dengan parti cauvinis itu. Dan ini ditentang oleh mereka yang berada dalam PAN hari ini yang melihat bergabung dengan DAP adalah satu-satunya laluan untuk menang pilihan raya.

Bagi pimpinan PAS pula, pengalaman bersama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) suatu ketika dahulu ternyata amat meresahkan apabila DAP sering jadi penghalang pada setiap usaha PAS mendaulatkan Islam. Bagi PAS, memperjuangkan Islam adalah mengatasi segala kepentingan.

Sejak itu, pimpinan PAS terutama Presiden Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mula menjauhkan diri daripada DAP, juga PKR dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang begitu tegar untuk terus menaruh keyakinan terhadap parti itu sebagai rakan gandingan.

Dalam keadaan itu, sebahagian besar calon yang tewas dalam pemilihan pimpinan PAS pada 2015 daripada ‘cai’ yang dikatakan telah mendapat restu DAP, keluar meninggalkan PAS.

Mereka awalnya berpayung bawah NGO Gerakan Harapan Baru (GHB) sebelum mengambil alih Parti Pekerja yang dijenamakan semula sebagai PAN.

Sejak itu, mereka tidak pernah menoleh ke belakang. Pemimpin PAN di semua peringkat konsisten menyerang PAS dan istiqamah dalam memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada DAP.

Justeru, adakah munasabah untuk PAS mengajak PAN duduk bersama berbincang hal penyatuan ummah sedangkan mereka sendiri tidak pernah menyatakan kemahuan untuk bersama dalam hal itu? Mereka bahkan sebaliknya terus menyerang PAS tanpa henti. 

Ini berbeza dengan sejarah kelahiran BERSATU yang bersusur daripada pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2015, disusuli dengan keahlian Umno pada 2016.

Namun lebih penting daripada itu, BERSATU telah dibawa oleh Muhyiddin meninggalkan PH untuk bersama PAS dan Umno memperjuangkan Islam atau Melayu. Ini susulan keresahan ramai orang dengan dasar dan tindak-tanduk PH yang didominasi DAP sepanjang 22 bulan pemerintahan mereka yang secara terang-terangan telah mencabar hak dan ketuanan Melayu atau Islam di negara ini.

Ketika itu, sebagai ahli PAS yang mengikuti rapat setiap perkembangan dan mentaati secara dekat setiap keputusan pimpinan, saya tidak pernah dengar sebarang kenyataan mana-mana pemimpin PAS untuk meminggirkan, apa lagi meninggalkan MN.

Kehadiran BERSATU untuk bersama dengan MN bagi PAS adalah suatu rahmat untuk memperluaskan lagi usaha penyatuan orang Islam atau Melayu dan keluarnya BERSATU daripada PH harus diterima sebagai kejayaan besar agenda perpaduan ummah.

Sesungguhnya ketika itu, semua orang pun tahu bahawa tiada yang tidak bersetuju dengan penyatuan itu. Inilah yang membawa pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020.

Sebagai seorang daripada sekian ramai orang yang menitiskan air mata kesyukuran pada hari termeterainya Piagam Muafakat Nasional (MN), kecewanya hati saya dengan apa yang berlaku mutakhir ini, hanya Allah yang tahu!

Kepada rakan-rakan dalam Umno, ingin saya nasihatkan kalaupun tidak boleh terima BERSATU, janganlah sampai mengajak musuh dengan PAS.

PAS bukan hendak bermusuh dengan Umno tetapi mengajak pada penyatuan ummah, merapatkan jurang perbezaan dan menghapuskan persengketaan yang sudah sekian lama memecahbelahkan kita.

Tidak ada untungnya kita terus bermusuhan melainkan hanya melemahkan dan merugikan agama, bangsa dan negara.

Cuba renung betapa indahnya persaudaraan tatkala kita sama-sama menautkan ikatan menerusi Piagam MN pada 14 September 2019. Bagaimana pada hari itu Iblis dan syaitan menangis teresak esak di serata penjuru.

PAS bukan mahu curang pada MN tetapi mahu memperluaskan lagi penyatuan menerusi PN yang sudah tentu akan menjadikan kita lebih kuat, utuh dan berpengaruh.

Korbankanlah sedikit kepentingan diri dan kepartian yang sempit untuk agenda perjuangan yang lebih besar dan menyeluruh.

Kami dalam PAS sayangkan saudara-saudara kami darIpada Umno sebagaimana kami sayangkan mereka yang dalam BERSATU.

Kami tidak melebihkan sesiapa cuma apabila di suatu pihak memilih untuk ‘bising-bising’ , sudah tentu kami akan lebih selesa berbicara dengan yang kurang bising.

Jadi, amat tidak kenalah kalau tuan-tuan memilih untuk mengecam dan memusuhi kami tanpa melihat diri sendiri. 

Saudaraku yang dikasihi, 

Allah Taala telah menghadapkan kita dengan suatu pengajaran yang amat jelas lagi bermakna. Perpecahan undi orang Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) menyebabkan bangsa kita bercempera kehilangan kuasa. Kita alah bukan kerana sedikit tetapi kerana berpecah belah.

Alhamdulillah. Apa yang berlaku waktu itu membawa hikmah. Tuan-tuan menyambut salam perpaduan yang kami hulurkan. Semangat itu ternyata turun ke bawah lalu kita menang dalam beberapa pilihan raya.

Sebagai ejen penyatu ummah, PAS banyak beralah kerana yang lebih utama bagi kami adalah reda Allah. Malangnya, semangat itu kian lama kian pudar seiring dengan kembalinya sedikit pengaruh dan kuasa yang pernah hilang.

Walau apa pun alasan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan jadi penentu halatuju sebenar tuan-tuan.

Jika tuan-tuan memilih untuk bertanding sendiri-sendiri, akan berlaku pecah undi lalu episod duka yang pernah kita sama-sama tangisi dahulu, akan berulang kembali.

Nabi S.A.W berpesan, orang mukmin tidak akan jatuh dalam lubang yang sama sampai dua kali.

Rakyat sedang menilai siapa yang lebih rasional, matang dan berbudi.

MUHAMAD MAT YAKIM 
Ahli PAS No 0288187
Cawangan Kampung Lobak, 
Kawasan Kulim – Bandar Baharu, 
Kedah – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -