Semoga usaha martabat perundangan syariah direalisasi

KUALA LUMPUR: Hari ini telah diadakan sesi pertemuan dan perbincangan bersama Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertempat di Zenith Hotel, Putrajaya.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, mesyuarat itu berlangsung selama dua hari.

Advertisement

“Saya merakam ucapan terima kasih dan penghargaan di atas komitmen dan usaha bersungguh-sungguh kepada ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal dalam memastikan penggubalan undang-undang syariah dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya menerusi laman Facebook.

Katanya, mekanisme penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Islam telah diwujudkan Majlis Raja-Raja dengan penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan diurus setiakan oleh JAKIM.

Beliau berkata, dalam usaha memastikan usaha penyelarasan dan penyeragaman undang-undang syariah dengan negeri-negeri terlaksana, JAKIM telah mewujudkan forum libat urus melalui Majlis Dialog Undang-Undang dan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil.

“Saya berharap segala usaha, idea dan tenaga yang dicurahkan oleh para ilmuan ahli-ahli jawatankuasa diberkati oleh Allah.

“Semoga usaha memartabatkan perundangan syariah dapat direalisasikan. Insya-Allah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 21/10/2021