Satu lawan satu untuk kemenangan lebih besar

Tuan Guru Dato’ Ustaz Hashim Jasi
- Advertisement -

KANGAR: PAS istiqamah dengan dasar yang jelas iaitu berjuang untuk perpaduan Umat Islam dan Melayu.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berharap dengan agar pemimpin Umno dan Bersatu berlapang dada melupakan perkara yang memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan dua parti itu dan terus bersatu demi kepentingan ummah.

“Kita harap dalam pilihan raya nanti kalau boleh, kita bersatu satu lawan satu kerana menerusi pertandingan satu lawan satu harapan untuk mencapai kemenangan adalah lebih besar daripada masing-masing bertanding atas parti sendiri.

- Advertisement -

“Jadi saya dengan penuh tawaduk mengharapkan kepimpinan Umno terutamanya Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya berlapang dada melupakan segala perkara yang memecahbelahkan demi untuk mencapai tujuan yang lebih suci dan murni,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tuan Guru Hashim berharap supaya PAS, Umno dan Bersatu dapat menghindari daripada memasuki pilihan raya dengan pertandingan banyak penjuru.

“Saya tetap berharap dan merayu agar kita dapat bersedia menghadapi pilihan raya tidak kiralah di peringkat mana pun mulai sekarang dan tetap dengan pertandingan satu lawan satu.

“Semoga Umno faham dan seterusnya bersedia untuk meletakkan matlamat utama di tempat yang teratas bukan hanya mengikut emosi,” ujarnya lagi.

Namun begitu, katanya, jika sekiranya terdapat banyak halangan, maka PAS akan memilih halangan yang lebih ringan.

“Kita bersedia memberi kerjasama dengan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip satu lawan satu.

“Kita minta dengan Allah supaya sekurang-kurangnya tiga parti ini akan bersama membuat persediaan dari sekarang untuk menghadapi pilihan raya akan datang, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -