Perjanjian Paris: Malaysia hantar delegasi ke Glasgow

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghantar delegasi khas untuk menghadiri Persidangan Perundingan Iklim (COP26) di Glasgow, Scotland yang dijangka berlangsung pada 31 Oktober hingga 12 November tahun ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tujuannya adalah untuk memuktamadkan rundingan beberapa isu berkaitan pelaksanaan Perjanjian Paris yang tertunggak sejak 2018 pada COP24.

- Advertisement -

“Antara rundingan yang belum diselesaikan dan penting untuk Malaysia adalah berhubung ketelusan dan pembangunan pelaporan maklumat dalam Biennial Transparency Report (BTR).

“Selain itu, isu teknikal mekanisme pasaran karbon di bawah Artikel 6 Perjanjian Paris, tempoh masa pelaksanaan ‘sumbangan yang ditentukan secara nasional’ atau Nationally Determined Contributions (NDC) dan pembiayaan perubahan iklim untuk negara membangun,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Kebangsaan 2021 secara dalam talian, di sini, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, delegasi tersebut akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Sementara itu katanya, KASA juga memfokuskan kepada sasaran pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar seawal tahun 2050 yang merupakan pemacu kepada pendekatan ekonomi hijau. 

Bagaimanapun kata Tuan Ibrahim, pencapaian sasaran itu tertakluk kepada hasil kajian strategi jangka masa panjang pembangunan rendah karbon (LTLEDS) yang akan dimuktamadkan pada akhir tahun 2022.

“KASA akan menggariskan strategi dan tindakan efektif bagi mitigasi pelepasan GHG untuk sektor ekonomi utama negara.

“Ia akan menjadi asas untuk menentukan hala tuju dan tahun sasaran pelepasan bersih sifar negara. Insya-Allah, KASA komited mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2030,” katanya.

Menurutnya, KASA juga sedang menyediakan garis panduan pasaran karbon dan dasar harga karbon sebagai garis panduan yang jelas kepada pihak tertentu yang akan menyertai pasaran karbon sukarela. 

“KASA akan memastikan aktiviti perdagangan karbon tidak menjejaskan menjejaskan pencapaian pengurangan pelepasan GHG negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -