Pemerkasaan jentera parti tumpuan PAS Pekan

- Advertisement -

PEKAN: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Pekan Kali Ke-33 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Kompleks PAS Pekan, Permatang Pasir, di sini kelmarin dahulu.

Majlis yang menyiarkan perutusan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melalui 
rakaman video ini, dihadiri Setiausaha Pemuda PAS Negeri Pahang, Dr Firdaus Ismail sebagai pemerhati dan 135 perwakilan. 

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf dalam ucapannya mengakui banyak kerja yang tertangguh tetapi, beberapa program masih diteruskan meskipun ketika itu berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kedudukan PAS kini berbeza, kerana merupakan sebahagian daripada Kerajaan Pusat, namun masyarakat sering salah dan kurang faham dengan menganggap PAS masih lagi pembangkang,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, Pakatan Harapan dilihat sering memburukkan imej dan secara dengan sengaja menjatuhkan kredibiliti PAS pada pandangan masyarakat.

“PH kata, PAS telah hilang taring, kita pula jangan cepat melatah sebaliknya rujuk kepada pimpinan dulu di atas segala permasalahan yang timbul, kemudian haruslah patuh dan wala’ dengan keputusan tersebut.

“Kerana PAS semampu mungkin menjaga hubungan baik dengan Muafakat Nasional dan memperkasakan Perikatan Nasional,” jelas Ustaz Abu Kassim.

Beliau turut meminta para perwakilan bermuhasabah terhadap perjalanan PAS Kawasan bagi sesi lepas dan menjadikan mesyuarat kali ini sebagai medan pemilihan Ahli Jawatankuasa yang tepat di kalangan mereka yang terbaik.

Mesyuarat Agung kali ini menjadi agenda penting kerana ia merupakan tahun pemilihan kepimpinan baru bagi sesi 2021-2023 melalui sistem e-Undi yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan PAS (JKPP) diketuai Mohd Zukri Mohd Salleh.

Dalam mesyuarat dan pemilihan yang berjalan serentak ini, telah menyaksikan jawatan Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua dikekalkan penyandangnya iaitu, Ustaz Abu Kassim Manaf, Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dan Kapten (B) Ahiatuddin Daud.

Majlis ini turut dipantau pegawai perubatan, Nurhuda Jabbar dan Dr Harison Mohd Amin di mana mengadakan ujian saringan COVID-19 kepada perwakilan terpilih iaitu mereka yang berisiko terdedah kepada jangkitan.

Ianya satu inisiatif bagi menggelakkan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku meskipun setiap perwakilan telah memenuhi syarat lengkap divaksinasi.

Majlis ini diserikan dengan pelancaran gimik van Maahad Tahfiz Al-Furqan (MATAF) dan SkimPAS iaitu Skim Khairat Kematian dan Perlindungan Kemalangan di bawah seliaan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Pusat.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah Taala kerana apa yang kita cita-citakan telah tercapai, MATAF kini telah berjaya memiliki sebuah van untuk kegunaan pelajar MATAF itu sendiri.

“Juga kemudahan bagi PAS Kawasan melaksanakan aktiviti jarak jauh yang memerlukan penyertaan yang ramai,” ujar Pengerusi MATAF, Ustaz Abdul Karim Sidek.

Dalam MAT ini, dua usul telah diterima dan dibahaskan iaitu daripada PAS Cawangan Kampung Mengkasar yang mencadangkan penubuhan koperasi atau kedai runcit sebagai tindakan bagi menjana kewangan tetap.

Manakala usul kedua pula daripada PAS Cawangan Jaya Gading di mana menuntut pemerkasaan parti agar segala berita mengenai PAS tersebar di media sosial, selain menangani dengan penjelasan terbaik terhadap laporan yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Oleh kerana penyandang jawatan yang dipertandingkan pada tahun ini tidak banyak berubah iaitu masih mengekalkan barisan pemimpin yang lama, Ustaz Abu Kassim mengharapkan agar segala kelemahan dapat diperbaiki untuk menjadi lebih baik.

“Tugas kita sekarang adalah tumpu pada kerja, Kawasan dan Cawangan. Cawangan itu pula bukan setakat hidup tapi perlu aktif, perkasakan Dewan-dewan dan di peringkat Cawangan, kemudian perkemaskan jentera pilihan raya terutamanya di kawasan yang telah kita putuskan sebagai DUN tumpuan.

“Sifat jentera, ia seperti tentera, setuju atau tidak tetap akur dengan arahan pihak atasan. Jadi bersungguhlah melaksanakan gerak kerja, biar selari perbuatan dengan ucapan,” ujar Ustaz Abu Kassim dalam ucapan penangguhannya. – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -