Mesyuarat MPFN lulus dua dasar utama perancangan bandar, desa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) hari ini meluluskan dua dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa, serta bersetuju terhadap cadangan penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah (JPW) bagi negeri-negeri di utara Semenanjung.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan mesyuarat MPFN ke-39 itu berkata dua dasar berkenaan yakni Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4) dan Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara-2 (RFZPPN-2), disediakan di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

- Advertisement -

“RFN merupakan dokumen peringkat tertinggi dalam sistem perancangan guna tanah negara.

“Selaras dengan keperluan peruntukan di bawah subseksyen 6B (4) Akta 172, RFN hendaklah dikaji semula setiap lima tahun, selaras dengan penyediaan Rancangan Malaysia Lima Tahun atau jika dan apabila diarah oleh MPFN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

RFN4 disediakan untuk menentukan arah tuju pemajuan fizikal termasuk ekonomi, alam sekitar dan sosial bagi seluruh kawasan perancangan di Semenanjung dan Labuan serta memerlukan penglibatan pelbagai pihak di setiap peringkat perancangan dan pembangunan.

RFZPPN-2 pula adalah rancangan strategik guna tanah yang menggariskan hala tuju penggunaan, pemuliharaan dan pengurusan sumberjaya persisiran pantai di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Ismail Sabri berkata RFZPPN-2 digubal dengan mengambil kira aspek-aspek ancaman geobencana seperti hakisan pantai dan faktor perubahan iklim yang akan memberi kesan kepada sosio-ekonomi dan alam sekitar serta Indeks Kerapuhan Persisiran Pantai (CVI).

Sementara itu Perdana Menteri berkata JPW bagi negeri-negeri di utara merangkumi Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis merupakan JPW keempat dipersetujui cadangan penubuhannya oleh MPFN.

Majlis itu terdahulu bersetuju dengan cadangan penubuhan JPW bagi Kawasan Persempadanan Antara Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (JPW NSMJ); JPW bagi Kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands, Kinta dan Lojing (JPW CEKAL); dan JPW bagi Kawasan Persempadanan Antara Daerah Pekan-Kuantan-Kemaman-Dungun-Jerantut (JPW PAKADJ).

Fungsi utama JPW adalah untuk menyelaras isu-isu perancangan merentasi sempadan dua negeri atau lebih serta menasihati kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam wilayah itu mengenai rancangan pemajuan yang sesuai bagi wilayah berkenaan.

Sementara itu Perdana Menteri berkata MPFN akan memperincikan pembangunan dan pemajuan negara yang bukan sahaja menyeluruh, inklusif dan mampan malah mempunyai ciri-ciri daya huni yang tinggi.

“Ingin saya tekankan bahawa kerajaan pada masa ini memberi tumpuan dan keutamaan yang cukup tinggi terhadap pembangunan yang mampan, selaras dengan komitmen kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif dan Mampan,” katanya.

MPFN dianggotai Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia serta menteri-menteri yang mempunyai tanggungjawab berkaitan perancangan bandar dan desa, manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertindak selaku urusetia.

Fungsi utama MPFN adalah untuk mengalakkan perancangan bandar dan desa sebagai suatu mekanisme yang berkesan dan efisien ke arah pembangunan yang mampan.

Majlis itu juga berperanan menasihati Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri mengenai perkara berhubungan dengan perancangan bandar dan desa, sekali gus platform penting untuk mencapai keputusan secara kolektif bagi penyelarasan pembangunan antara negeri-negeri dan negara keseluruhannya. – BERNAMA

- Advertisement -