Komitmen Pusat tarik pelabur asing ke Terengganu dihargai

- Advertisement -

SAYA melahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Lim Ban Hong kerana telah meluangkan masa di Dewan Negara pada 20 Oktober 2021 untuk memberi maklum balas kepada cadangan saya ketika perbahasan RMK12 pada minggu lepas. Pada perbahasan saya pada minggu lepas, saya memohon supaya Kerajaan Persekutuan memudahkan prosedur dan juga laluan kepada kemasukan pelabur asing untuk melabur di Negeri Terengganu di bidang industri yang berpotensi untuk dimajukan.

Yang Berhormat Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memaklumkan bahawa MITI sentiasa mengambil langkah-langkah yang proaktif dalam usaha memudahkan kemasukan pelabur asing dalam pelbagai sektor ke seluruh negara, termasuk ke negeri Terengganu. Bagi memastikan kemasukan pelabur yang tidak terjejas sewaktu pelaksanaan langkah-langkah oleh kerajaan bagi membendung penularan COVID-19, pusat sehenti atau One-Stop Centre (OSC) for business traveller di Malaysian Investment Development Authority (MIDA) telah diwujudkan bagi menilai permohonan pelawat perniagaan yang layak untuk memasuki Malaysia bagi tujuan perdagangan dan pelaburan

- Advertisement -

Selain daripada itu, bagi memastikan pelaburan yang telah diluluskan dapat direalisasikan dalam tempoh yang singkat, Unit Percepatan dan Koordinasi Projek atau, dengan izin, Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) di MIDA adalah bertanggungjawab untuk memudah carakan pelaksanaan projek pelaburan, termasuk daripada segi kelulusan lesen dan kebenaran merancang bagi tujuan pembinaan fasiliti pengilangan. Sejak PACU ditubuhkan pada Jun 2020 sehingga Jun 2021, sebanyak 23 projek pengilangan telah berjaya dilaksanakan mengikut jadual atau lebih awal, termasuk 12 projek di Terengganu melibatkan pelaburan sebanyak RM2.6 bilion dan mewujudkan 1,450 peluang pekerjaan.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) juga telah memperkenalkan inisiatif express 10 months (E10) permit pembinaan ekspres yang merujuk kepada proses kolaborasi di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengurangkan tempoh masa perancangan serta kelulusan pelaksanaan sesuatu projek pengilangan

Justeru, saya berharap MITI meneruskan usaha dan inisiatif bagi memastikan prosedur dan juga laluan kepada kemasukan pelabur asing untuk melabur di negeri Terengganu dipermudahkan. Dengan inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh MITI pada waktu ini dan pada masa akan datang, saya berharap hasrat rakyat Terengganu untuk melihat negeri ini menjadi kuasa besar ekonomi (economic powerhouse) di dalam negara dapat direalisasikan.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB SENATOR DATO’ HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -