Ketetapan Malaysia tidak sertai Abraham Accord disokong

Perkasa sokongan terhadap perjuangan Palestin dan tidak normalisasi hubungan dengan Israel

- Advertisement -

SAYA menyokong sepenuhnya ketetapan Kerajaan Malaysia untuk tidak menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel dan terus memperkasakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk menuntut sebuah negara Palestin yang merdeka.

Ia sekali gus menolak kenyataan seorang Menteri negara haram Israel dalam satu temuramah dengan portal berita Erem News bahawa Malaysia berkemungkinan akan menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel dan menyertai ‘Abraham Accords’.

- Advertisement -

Sebagaimana yang diketahui umum, rejim Zionis Israel adalah penjajah yang menjajah Palestin yang kemudiannya mengisytiharkan Israel sebagai sebuah negara yang merdeka pada tahun 1948 di atas negara yang dijajahnya.

Rejim Zionis Israel menghalau rakyat Palestin dari kampung halaman dan tanah air mereka sendiri, merobohkan dan merampas rumah, kampung, bandar dan negara rakyat Palestin, mengamalkan diskriminasi, kezaliman dan kekejaman ke atas rakyat Palestin malah lebih teruk dari dasar ‘Apartheid’ yang diamalkan di Afrika Selatan satu ketika dahulu.

Malah rejim Zionis Israel telah banyak kali melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, mengamalkan polisi yang kejam ke atas rakyat Palestin serta menafikan hak asasi rakyat Palestin di tanah air mereka sendiri.

Sewajarnya bukan sahaja tidak satupun negara yang perlu menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel malah negara haram Israel wajar diboikot dan dinafikan kewujudannya di muka bumi ini kerana adalah tidak masuk akal di zaman yang serba maju ini, Palestin adalah satu-satunya negara yang masih dijajah secara terang-terangan di dunia ketika ini.

Semoga Palestin dan rakyatnya akan beroleh kemenangan serta merealisasikan kewujudan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 21/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044617890986/posts/425081975655729/?d=n

- Advertisement -