Jalinan kerjasama UA hasilkan vaksin Covid-19

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama beberapa institusi penyelidikan atau universiti awam (UA) dalam usaha menghasilkan vaksin Covid-19 dengan peruntukan sebanyak RM15 juta.

Timbalan Menterinya, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, peruntukan tersebut membabitkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus bagi penghasilan vaksin Covid-19 kepada Pusat Penyelidikan Penyakit dan Pendidikan Tropika (TIDREC) di Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

- Advertisement -

Selain itu katanya, kerajaan juga menyalurkan peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi usaha yang sama kepada Institusi Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak projek berkenaan mula dirancang pada April tahun lalu.

Ahmad Amzad berkata, IMR KKM membangunkan dua teknologi vaksin Covid-19 iaitu berasaskan teknologi Messenger Asid Ribonukleik (mRNA) dan teknologi vaksin ternyahaktif.

“Pembangunan vaksin ini dilaksanakan secara strategik antara IMR KKM bersama penyelidik daripada UM, UPM dan Institusi Penyelidikan Veterinar.

“Pada masa ini, kedua-dua projek tersebut berada di peringkat makmal iaitu bukti konsep sebelum fasa kajian, praklinikal haiwan dapat dilaksanakan,” katanya menjawab pertanyaan Dato’ Paul Igai, dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Paul Igai mempersoalkan adakah kerajaan berhasrat untuk membangunkan pengeluaran vaksin Covid-19 sendiri, termasuklah juga vaksin serta ubatan lain yang selama ini dibangunkan oleh negara luar.

Menjawab persoalan berkenaan pembangunan vaksin atau ubatan lain dibangunkan negara luar katanya, MOSTI telah membiayai hampir RM40 juta kepada syarikat pengeluar farmaseutikal bermula Rancangan Ke-9 (RMK9) hingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi membabitkan 39 projek pembangunan vaksin berkaitan manusia.

“Setakat ini, projek berkaitan pembangunan vaksin kolera daripada USM dengan kerjasama Universiti AIMST telah memasuki fasa akhir praklinikal,” katanya.

Sebelum itu, Ahmad Amzad memaklumkan, MOSTI kini sedang dalam proses memuktamadkan pelan hala tuju pembangunan vaksin negara yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Katanya, objektif pelan ini adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar vaksin manusia dan mengkaji keperluan vaksin untuk rakyat negara ini termasuklah vaksin Covid-19 yang amat diperlukan ketika ini.

Tambahnya, pelan ini juga akan mengkoordinasi gerak kerja antara kerajaan, saintis, pengamal perubatan dan pemain industri melalui ekosistem tadbir urus dan pendekatan strategik untuk menyediakan sistem kolaborasi antara kementerian-kementerian yang terlibat, pelbagai agensi pengeluar di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

Sehubungan itu katanya, MOSTI juga telah mengusulkan sebuah pusat vaksin negara yang akan dikenali sebagai Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI).

“Tempat ini akan menempatkan pakar-pakar yang mempunyai kepakaran yang khusus di dalam penghasilan vaksin termasuklah vaksin Covid-19.

“Kepakaran di dalam negara sedang dikenal pasti dan disusun bagi memastikan strategi dan tindakan dapat dilaksana dengan sempurna,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -