Banjir: Penduduk Yan diingatkan berjaga-jaga

PENANG 03/05/18: Candidate for Parliament Jerai Sabri Azit to the press regarding the up coming General Election at his home in Kampung Sungai Lentang. PICTRE BY SAYUTI ZAINUDIN
- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

YAN: Penduduk mukim Yan terutama yang tinggal berhampiran sungai diingatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga kerana dibimbangi berlaku banjir lagi sekiranya  hujan lebat masih berterusan hari ini.

Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, walaupun banjir kilat yang berlaku malam tadi telah surut namun tidak mustahil ia akan berulang memandangkan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.   

- Advertisement -

“Saya nasihatkan kepada penduduk agar segera berpindah sekiranya keadaan menjadi semakin kritikal dan membahayakan,” ujarnya ketika dihubungi HarakaDdaily, di sini, awal pagi ini. 

Menurutnya lagi, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Kapt (PA) Norlizawati Ismail, 16 lokasi dan sebuah taman perumahan terlibat dengan banjir kilat malam semalam serta membabitkan 286 buah rumah. 

Penduduk yang terlibat dengan kejadian banjir di mukim Yan sedang membersihkan ruang tamu kediamannya.

Antaranya Kampung Teroi Bukit, Kampung Ruat, Kampung Perigi, Kampung Setol, Kampung Dusun Manggis, Rendang Pasir, Kampung Tohor dan Pekan Sungai Yan.

Selain itu turut membabitkan Kampung Lubok Boi, Telok Mat Acheh, Titi Bakong, Seberang Pekan Yan, Kampung Seberang Pekan Yan, Kampung Titi Teras, Kampung Permatang Keramat dan Taman Perumahan Awam dua Pantai Murni. 

“Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), daerah Yan akan dibuka hari ini untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat,”  jelasnya lagi. 

Kata Sabri, kejadian itu berlaku berikutan hujan sejak dua hari lalu dan situasi menjadi agak teruk semalam.

Kebanyakan penduduk bimbang kejadian kepala air Gunung Jerai dua bulan lalu (18 Ogos) berulang kembali. Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka. 

Sementara itu laporan awal pemantauan mendapati berlaku tanah runtuh di sekitar hulu sungai Seri Perigi, Titi Hayun dan Batu Hampar.

Dalam perkembangan yang sama 100 buah rumah di dua buah kampung (Singkir Darat dan Singkir Genting) di mukim Singkir juga terlibat dengan banjir malam tadi. Sungguhpun begitu, dilaporkan keadaan terkawal dan air mula surut sekitar jam 3.35 pagi tadi. – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -