Abu Bakar As-Siddiq bersedia dibalas

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 15)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

NABI SAW meninggalkan legasi yang hebat. Legasi itu terlihat pada generasi para sahabat. Dari bersifat jahiliah hingga menjadi jilul-Quran al-Fareed (generasi Al-Quran yang unggul).

Sifat dan akhlak kenabian diwarisi oleh para sahabat. Yang pertama tentunya oleh Abu Bakar As-Siddiq ra.

Al-Baihaqi mengeluarkan daripada Abdullah bin Amru bin Al-As bahawa Abu Bakar pernah bangun pada hari Jumaat, lalu berucap (maksudnya): “Esok akan dibuat pembahagian unta. Jangan masuk tempat kami melainkan dengan keizinan.”

Advertisement

Seorang wanita berkata kepada suaminya: “Ambil tali ini. Barangkali Allah akan beri rezeki kepada kita seekor unta.”

Lelaki itu membawa tali pengikat unta. Beliau melihat Abu Bakar dan Umar rhma di tempat unta. Beliau menuruti di belakang mereka. Abu Bakar berpaling dan melihatnya, lalu bertanya: “Kenapa kamu masuk ke sini?’ Abu Bakar mengambil tali pengikat unta lalu memukulnya.”

Selepas selesai pembahagian unta, Abu Bakar memanggil lelaki itu. Beliau memberikan tali pengikat unta dan berkata: “Balaslah.”

Umar berkata: “Demi Allah! Engkau jangan jadikan ia sebagai satu ikutan.”

Abu Bakar menjawab: “Bagaimana nanti aku depan Allah di akhirat nanti?”

Umar membalas: “Redha sahaja darinya.”

Abu Bakar menyuruh anak buahnya mengambil seekor tunggangan, pelana, sekeping roti dan lima dinar. Maka pemberian Abu Bakar itu menyebabkan lelaki tadi redha.

Beberapa pengajaran yang dapat dipetik:

1. Abu Bakar As-Siddiq, Umar dan para Sahabat lain mewarisi sifat dan akhlak mulia Nabi SAW.

2. Keadilan tidak hanya berlaku di zaman Nabi, bahkan di zaman Khulafa al-Rasyidin selepas Baginda.

3. Antara cara khalifah memaklumkan ‘projek’ yang akan dibuat adalah pada hari Jumaat ketika ramai manusia berhimpun untuk solat Jumaat. Kita boleh memaklumkan, bukan sahaja pada hari Jumaat, tetapi sepanjang masa dan di semua tempat melalui teknologi yang ada.

4. Pukulan Abu Bakar ada sebab iaitu lelaki tersebut masuk ke tempat unta tanpa izin. Pukulannya juga tentulah tidak mencederakan, tetapi beliau bersedia menerima balasan setimpal dari lelaki itu.

5.  Abu Bakar memberi lebih kepada lelaki itu agar beliau redha dengannya. – HARAKAHDAILY 21/10/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.