Ustaz Abdullah rasai kehilangan Ustaz Selamat

- Advertisement -

TEBRAU: Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin menyifatkan pemergian Ustaz Selamat sebagai satu kehilangan buat dirinya atas persahabatan mereka berdua sejak hampir tiga dekad lamanya.

“Hampir 30 tahun saya berkawan dengan Almarhum Ustaz Selamat, perwatakannya sangat baik dan sangat istiqomah dalam perjuangan,” ujarnya ketika ziarah dan penyampaian sumbangan ke rumah balu Almarhum di Kampung Sinaran Baru Seelong, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Ketua Cawangan PAS Kampung Maju Jaya, Ustaz Selamat atau nama sebenarnya Sharudin Mohd Rafiee meninggal dunia pada 4 Oktober lepas ketika dalam rawatan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru kerana dijangkiti COVID-19.

“Sedih sayu di atas pemergian sahabat saya Ustaz Selamat, yang meninggal dunia pada awal bulan baru-baru ini. Insya-Allah saya pasti anak-anaknya akan mengikuti jejak langkah ayahnya. 

“Saya doakan semoga Arwah Ustaz Selamat di tempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” ujar Ustaz Abdullah.

Turut bersama dalam ziarah tersebut Yang Dipertua PAS Kawasan Tebrau, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail dan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Johor, Ab Aziz Abdullah dan wakil NGO Kelab Kebajikan Anak Tebrau.

Terdahulu menurut Ab Aziz, kutipan sumbangan kewangan telah dilancarkan melalui LKK dan NGO Anak Tebrau di semua kawasan untuk membantu dalam menyumbang kepada balu dan waris almarhum.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua kerana menyumbang untuk meringankan beban keluarga almarhum yang juga merupakan Pengetua Maahad Tahfiz Ibnu Nafis di Bandar Putra Kulai. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -