Tambah peruntukan pembangunan rangsang ekonomi negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar menambah peruntukan pembangunan melalui Belanjawan 2022 sebagai usaha merangsang ekonomi negara melalui suntikan kewangan.

Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, peruntukan itu boleh dimanfaat termasuk syarikat kecil dan sederhana (PKS).

- Advertisement -

Katanya, ia secara tidak langsung dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Peruntukan pembangunan Belanjawan 2022 perlu ditambah bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan secara tidak langsung dapat merancakkan semula ekonomi.

“Ini kerana peruntukan pembangunan bagi Belanjawan 2021 hanya RM69 bilion daripada jumlah bajet RM322.5 bilion iaitu hanya 21.4 peratus sahaja,” katanya di sini.

Menurutnya juga berdasarkan pengumuman Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) peruntukan disediakan kerajaan sebanyak RM400 bilion lebih tinggi daripada RMK-11 iaitu RM248.5 bilion.

Kata beliau berdasar perkembangan itu kemungkinan akan berlaku peningkatan peruntukan pembangunan bagi Belanjawan 2022 dan 2023.

Beliau berkata, langkah itu dijangka dapat membantu menurunkan kadar pengangguran dan kebergantungan kepada Program Subsidi Upah (PSU).

Katanya juga inisiatif kerajaan dalam Belanjawan 2021 dan Pakej Rangsangan Ekonomi berjaya menurun kadar pengangguran pada Ogos 4.6 peratus berbanding Julai (4.8 peratus). – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -