Seramai 4,154 pekerja penerbangan hilang kerja

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) melaporkan seramai 4,154 orang kehilangan pekerjaan dalam sektor penerbangan semasa tempoh pandemik Covid-19 daripada Mac hingga September tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim berkata, bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menyediakan faedah-faedah di bawah SIP.

- Advertisement -

“Antaranya elaun mencari pekerjaan, elaun pendapatan berkurangan, yuran latihan, elaun latihan, elaun bekerja semula awal dan program perkhidmatan pekerjaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, di bawah SIP, pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan akan diberi bantuan kewangan segera untuk menampung perbelanjaan semasa dan juga bantuan pencarian pekerjaan baru.

“Jika syarat-syarat kelayakan dan caruman sebanyak 12 bulan dipenuhi, pekerja layak untuk menuntut faedah penuh SIP seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) yang menyediakan elaun mencari pekerjaan bagi tempoh tiga  hingga enam bulan tertakluk kepada syarat kelayakan caruman. 

“Jumlah elaun mencari pekerjaan yang dibayar adalah bergantung kepada peratusan purata bulanan anggapan iaitu 80 peratus pada bulan pertama, 50 peratus pada bulan kedua, 40 peratus pada bulan ketiga dan keempat manakala 30 peratus pada bulan kelima dan keenam. 

“Walau bagaimanapun pekerja mestilah mampu dan bersedia untuk bekerja serta mencari pekerjaan secara aktif,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta Dr. Ahmad Azam Hamzah menyatakan jumlah pekerja di sektor penerbangan yang terkesan dan kehilangan pekerjaan semasa pandemik ini.

Menurut Awang lagi, Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) juga disediakan sebagai insentif bagi menggalakkan Orang Berinsurans (OB) untuk kembali bekerja dengan segera.

Malah, kata beliau Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) turut disediakan kepada OB yang bekerja dengan lebih daripada satu majikan dan telah kehilangan pekerjaan. 

“Walau bagaimanapun, OB yang menerima faedah ini tidak layak mendapat Elaun dan Fi Latihan. Elaun latihan dibayar kepada OB diantara RM10 hingga RM20 sehari selama 6 bulan (maksimum),” ujarnya.

Katanya, bayaran latihan diberi kepada penyedia latihan yang berdaftar dengan jumlah maksimum sebanyak RM4,000. – HARAKAHDAILY 20/10/2020

- Advertisement -