Program tanah kelompok bantu penduduk miskin bina rumah

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan meluluskan program pemberian tanah secara berkelompok yang melibatkan 11 jajahan di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, usaha tersebut bagi menyediakan tanah kepada rakyat yang tidak berkemampuan memiliki tanah sendiri untuk membolehkan rumah dhuafat dibina.

Katanya, langkah itu merupakan usaha terbaru kerajaan negeri bertujuan bagi memastikan agenda kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan sebaik mungkin.

- Advertisement -

“Kita setuju akan dilaksanakan di seluruh jajahan, sekarang kita sudah kenal pasti beberapa kawasan di Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli bagi memberi tanah kepada penduduk.

“Isu sekarang penduduk miskin perlukan bantuan bagi membina rumah, namun mereka tiada tanah, jadi kita hendak tolong buat rumah pun tidak boleh sebab tiada tanah.

“Jadi dengan ada kaedah ini kita dapat selesaikan masalah tersebut,” katanya pada program Bicara Siasah mengupas tajuk ‘Tamadun Kelantan Pasca Tiga Dekad, 31 Tahun Membangun Bersama Islam yang disiarkan secara langsung di Kelantan TV malam tadi.

Turut diundang pada program itu Ketua Kluster Kajian Tadbir Urus dan Dasar Awam di Pusat Inovasi Sosial Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof. Madya Dr Mohd Nuri al Amin Endut.

Mohd Amar berkata, program itu dilulus pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi manfaat rakyat Kelantan.

Pada tahun lepas kerajaan negeri melulus peruntukan sebanyak RM400,000 di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membina dan membaiki rumah dhuafat.

Program rumah dhuafat disediakan kepada keluarga kurang berkemampuan yang berpendapatan tidak melebihi RM1,000 sebulan. Program itu dilaksanakan di Kelantan sejak 20 tahun lepas.

Selain itu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan turut membina rumah tiga bilik bernilai RM40,000 untuk penduduk asnaf. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -