PN, MN dua entiti penting negara

- Advertisement -

AYER KEROH: Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) merupakan dua entiti yang penting dalam negara ini.

“Masing-masing ada peranan masing-masing yang perlu kita pertahankan, kena kita perkukuhkan.

“Dari dahulu hingga sekarang (PAS) senantiasa menekankan untuk memperkukuhkan dan memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional ini.

“Jadi tidak timbul PAS meminggirkan mana-mana sama ada Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional,” ujarnya.

- Advertisement -

Dr Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian dalam sidang media program Majlis Pelancaran Gempur Perikatan Nasional Melaka di Hotel MITC, di sini, semalam.

Menurut beliau, pendirian PAS adalah jelas melalui kenyataan-kenyataan terkini daripada pemimpin tertinggi selama ini.

“Yang paling penting kita kekal bersatu-padu dan saling bekerjasama bukan saja dalam konteks negara, bahkan dalam konteks pilihan raya negeri-negeri seperti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.

“Kita membuat penilaian dan pertemuan bagi membuat penilaian dan mencari jalan bagaimana kita mencari titik persamaan untuk kita tuju.

“Bukan pertemuan untuk mencari di mana kita berbeza. Kalau itu matlamat (mencari perbezaan) kita takkan boleh bersama sampai bila-bila.

“Sebab itu kita senantiasa cari jalan untuk kita mencari titik persamaan supaya jalan di hadapan kita lebih mudah. Termasuklah untuk kita menghadapi pilihan raya Negeri Melaka ini,” ujarnya lagi.

Mengulas tentang kerjasama dengan BN untuk PRN ini, beliau berkata setakat ini PAS tidak meletakkan apa-apa tarikh dalam soal memuktamadkan kerjasama itu namun optimis ia akan selesai sebelum hari penamaan calon.

“Pada waktu ini pimpinan PAS di berbagai-bagai peringkat walaupun di peringkat Pusat sekalipun bila-bila masa kita ingin bertemu, berbincang atau meneroka jalan ke arah persefahaman yang lebih baik sama ada dengan pimpinan Bersatu atau pimpinan Umno.

“Kita tidak ada masalah. Tidak pernah mana-mana pihak menyatakan mereka tidak mahu berjumpa dan sebagainya. Jadi pada saya tak perlu kita letak tarikh lagi. Masa masih ada untuk kita meneruskan perjalanan kita,” ujarnya.

Dalam program tersebut semua ketua parti komponen PN peringkat Parlimen dalam negeri Melaka telah menerima kit berlogo parti itu sebagai simbolik gerak kerja PRN ini.

Selain Dr Samsuri, turut berucap di dalam majlis itu ialah Setiausaha Agung Bersatu Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai dan Pengerusi PN Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek dan pimpinan-pimpinan PAS, Bersatu dan Gerakan peringkat Pusat dan negeri. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -